Pemain tengah Afghanistan gagal diserap TRW, tapi bekas 'striker' Sabah pula meroyan


  • Podium
  • Rabu, 15 Feb 2023

Omid tetap menghargai masanya bersama Kelantan meskipun hanya dalam tempoh yang singkat. — Facebook/Omid

KURANG dari seminggu lagi sebelum saingan Liga Super bermula, masing-masing pasukan tidak membuang masa dengan melakukan segala persiapan seperti perlawanan persahabatan dan memuktamadkan pemain.

Seperti Kelantan FC yang kini sedang rancak menguji beberapa pemain dalam siri perlawanan persahabatan nampaknya sudah berhasil mengesahkan pemain pilihan mereka bagi saingan Liga Super musim 2023.

Antara pemain yang sudah diumumkan secara rasmi ialah tonggak import; Miguel Cifuentas, Christian Rontini, Mario Arques, Nuha Marong, Kim Min-Kyu, Kang Eui-chan dan enam pemain baharu tempatan.

Selain daripada senarai itu, beberapa pemain yang sebelum ini dilihat menyertai kem latihan Kelantan seperti pemain dari Afghanistan, Omid Popalzay nampaknya gagal mendapatkan tempat.

WhatsApp Image 2023-02-15 at 15.11.39

Omid sewaktu diuji dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Thailand, Buriram United. — Facebook/Omid

Meskipun nasib Omid seakan-akan sudah dikenal pasti, arkitek tengah dari kelab divisyen satu liga Bangladesh Chittagong Abahani itu masih berasakan ia adalah satu pengalaman yang menarik.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, pemain berusia 26 tahun itu mengakui dia mempunyai masa yang seronok sepanjang berada di Malaysia dan lebih spesifik lagi bersama skuad The Red Warriors.

"Seronok berada di Malaysia," sambil memuat naik beberapa gambarnya bersama pasukan Pantai Timur itu.

Bagaimanapun, kenyataan positif pemain kebangsaan Afghanistan itu seperti kurang dipersetujui oleh bekas penyerang Sabah FC musim lepas iaitu Jose Embalo.

"Penipu," balasnya pada hantaran tersebut sambil meletakkan dua emoji ketawa.

WhatsApp Image 2023-02-15 at 15.12.28

Tangkap layar komen dari Jose Embalo. — Facebook/Omid

Namun begitu, balasan pemain kelahiran Portugal itu mungkin hanyalah gurauan semata-mata ataupun dia menzahirkan rasa tidak puas hatinya sepanjang beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

Mengimbau kembali detik Embalo bersama skuad The Rhinos, Embalo sering mendapat kecaman daripada penyokong berikutan prestasinya tidak memuaskan sebagai seorang penyerang.

Dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua, pemain berusia 29 tahun itu hanya menjaringkan satu gol dan satu hantaran, selain tampil dalam tujuh perlawanan sahaja.

Justeru itu, pemain tersebut mendapat layanan yang negatif daripada penyokong dan sekali gus gagal ditawarkan kontrak lanjutan bersama Sabah FC untuk musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram