'Posting' IG Mbappe beri petunjuk bakal sarung jersi Man United


  • Podium
  • Rabu, 15 Feb 2023

Jika Mbappe berhijrah ke Man United, ramai penyokong teruja gandingannya bersama Rashford. — Agensi

PENYANDANG juara Ligue 1, Paris Saint Germain (PSG) tewas 0-1 ketika menentang gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich dalam perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara pada malam Selasa.

Dalam perlawanan itu, penyerang berbisa PSG, Kylian Mbappe bermula di bangku simpanan selepas mengalami kecederaan otot baru-baru ini sehingga menyebabkan Neymar dan Lionel Messi ditugaskan untuk menembusi pertahanan Bayern.

Usai kekalahan tersebut, Mbappe membuat hantaran di laman Instagram untuk menghantar mesej kepada peminatnya selepas persembahan mengecewakan menentang Bayern.

Selepas memuat naik hantaran tersebut dalam bahasa Perancis, terjemahan di Instagram bagaimanapun telah mengelirukan peminat pemain berusia 25 tahun itu.

Mbappe memuat naik gambarnya dengan mesej yang berbunyi 'Tout reste à faire...' yang sepatutnya membawa maksud 'Semua yang perlu dilakukan'.

Bagaimanapun, mesej itu diterjemahkan secara pelik yang mana ia menulis 'Semua yang perlu dilakukan...Pasukan Manchester United kini berada di @psg."

Sejurus sahaja hantaran tersebut dimuat naik, sememangnya ia telah menarik perhatian peminat Manchester United yang menunggu penyerang berbisa itu berhijrah ke Old Trafford.

ss

Tangkap layar terjemahan hantaran Mbappe.

Khabar angin mengaitkan Mbappe dengan United tambah kukuh apabila difahamkan pelabur Qatar bersedia membeli United dari keluarga Glazer.

“Adakah ini bermakna Qatar sudah membeli kami dan Mbappe turut serta???" kata seorang penyokong.

"Terjemahan ini membuat saya keliru. Saya perlukan pertolongan," tambah seorang lagi penyokong secara berseloroh.

"Datang sahaja ke Manchester United," komen seorang lagi peminat The Red Devils.

Lebih menarik apabila bintang United, Marcus Rashford turut membalas hantaran bintang Perancis itu dengan memberi komen emoji api yang seolah-olah menguatkan lagi spekulasi mengenai bakal pemilik baharu kelab itu.

Dilaporkan bahawa Emir pemerintah Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani dijangka melancarkan bidaan untuk membeli United selepas keluarga Glazer meletakkan kelab itu untuk dijual.

Pada masa ini, Emir memiliki PSG melalui Qatar Sports Investments. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram