PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk tidak menghantar skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China yang dijadual berlangsung pada September ini.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan itu susulan penganjuran Sukan Asia begitu hampir dengan tarikh pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang dijadual berlangsung pada bulan yang sama.
Katanya, perkara itu dipersetujui selepas mengambil kira pandangan Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donell dan Ketua Jurulatih E. Elavarasan bahawa pusingan kelayakan itu lebih penting dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
"Kita tidak mahu masuk semua kejohanan dan akhirnya satu pun kita tak dapat peroleh kejayaan. Fokus kita tahun ini ialah tiga kejohanan iaitu Sukan SEA di Kemboja, kelayakan Piala Asia B-23 2024 dan Piala AFF B-23,” katanya kepada media di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Hamidin berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan tidak mendapat sebarang bantahan.
Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober sementara pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 dijangka bermula dari 4 hingga 12 September.
Sebagai rekod, tiga pasukan terbaik dalam pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 akan layak ke Sukan Olimpik Paris. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram