'Nak tengok liga sendiri pun susah,' fans kecewa langganan berbayar siaran Liga M


  • Podium
  • Khamis, 09 Feb 2023

Astro dan MFL mengumumkan kolaborasi selama tiga tahun bermula 2023 hingga 2025.

ASTRO dan Malaysian Football League (MFL) mengumumkan kolaborasi selama tiga tahun bermula 2023 hingga 2025 sebagai penyiar rasmi untuk semua pertandingan Liga Malaysia.

Ia meliputi perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Kerjasama yang terjalin itu akan dimulakan dengan aksi saingan pembuka tirai perlawanan Sumbangsih pada 24 Februari nanti.

Belum pun tirai Liga Super dibuka, sudah ada cakap-cakap kurang enak berhubung tayangan siaran perlawanan liga domestik berkenaan.

Ini kerana hanya pelanggan yang melanggan saluran Sukan di Astro yang boleh menonton Liga Malaysia melibatkan keseluruhan 182 perlawanan.

Berdasarkan pemberitahuan Astro, tayangan Liga Malaysia akan disertakan sekali di dalam langganan dengan tiada kos tambahan, bagi pelanggan saluran Sukan.

Begitupun, untuk pelanggan bukan Pek Sukan, mereka boleh menaik taraf ke Pek Sukan atau menambah Liga Malaysia dalam langganan.

327971833_703137674824727_1491622270183582586_n

Kebiasaannya tambahan langganan di saluran Astro akan dikenakan caj pada kadar tertentu.

Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong kerana sebelum ini mereka boleh menonton perlawanan Liga Malaysia secara percuma di saluran RTM dan Unifi TV.

"Hanya yang langgan channel sukan je boleh tengok Liga Malaysia? Apa ni tak fair lah kalau betul. Nak tengok liga sendiri pun susah. Aduhhhh. Rakyat marhaen mana mampu oi. Dah la RTM tak semua live dia ambil," kata seorang penyokong di laman Perak FC Supporters.

Tidak dinafikan kehadiran Astro memeriahkan liga tapi pada masa sama kaedah penyiaran itu mengecewakan sebahagian besar penyokong.

Ia akan menyebabkan ramai yang tidak dapat menonton perlawanan membabitkan pasukan kegemaran mereka sekiranya tidak menjadi perlawanan pilihan.

Apatah lagi melibatkan pasukan sendiri bertanding di gelanggang lawan.

Sebagai alternatif, penyokong dilihat boleh menonton perlawanan Liga Super di aplikasi Sooka yang memancarkan perlawanan daripada Astro SuperSport dan boleh ditonton di telefon bimbit secara perperlawanan atau langganan berbayar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram