Nilai Arif Aiman mencanak, dilabel lebih berharga banding permata Selangor FC


  • Podium
  • Ahad, 12 Feb 2023

Arif Aiman juga menjadi pemain Malaysia termahal dalam Liga Malaysia bagi musim 2023. — Facebook/JDT

BINTANG muda sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi sekali lagi mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air apabila dia disenaraikan antara 'wonderkid' termahal seantero Asia Tenggara.

Laporan tersebut disediakan sendiri oleh media Thailand, Main Stand yang menyenaraikan 11 nama pemain muda paling bernilai dari setiap negara di Asia Tenggara.

Arif Aiman yang dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) menduduki di tempat kedua dengan nilai sebanyak 400,000 euro (RM1.86 juta).

Manakala pemain muda Thailand, Suphanat Mueanta berjaya menduduki tangga teratas sebagai pemain muda paling bernilai di Asia Tenggara dengan nilai 700,000 euro (RM3.24 juta).

Suphanat yang baru berusia 20 tahun sudah menjaringkan sembilan gol dalam 22 perlawanan dalam kesemua kejohanan yang melibatkan Buriram United.

WhatsApp Image 2023-02-11 at 23.14.18

Senarai pemain muda termahal 2023. — Twitter

Sebelum ini, pada Mei 2022, nilai Arif Aiman ialah 300,000 Euro iaitu bersamaan RM1.39 juta namun prestasi memukaunya dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) dan penampilannya di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) jelas menyumbang kepada kenaikan saham pemain ini.

Lebih menarik, pemain yang juga beraksi di Liga M iaitu tonggak sayap import Selangor FC dari Myanmar, Hein Htet Aung menduduki tempat keempat dalam senarai tersebut dengan nilai sebanyak 175,000 Euro (RM811,017 ribu).

Dengan perbezaan sebanyak RM1.05 juta itu membuatkan ramai penyokong mulai membandingkan kehebatan dua permata tersebut terutamanya apabila kedua-dua mereka beraksi di posisi sama iaitu tonggak sayap.

Musim 2022 menyaksikan Arif Aiman menjadi watak penting buat skuad Harimau Selatan apabila dia mengharungi 38 perlawanan dengan berjaya meledak 8 gol dan menghasilkan 20 bantuan gol.

Manakalah, Hein Htet pula merekodkan lima hantaran gol selain menjaringkan dua gol peribadi dalam 29 penampilan Liga Super bersama skuad Gergasi Merah pada musim lalu.

WhatsApp Image 2023-02-11 at 23.14.03

Sebelum memasuki skuad utama Gergasi Merah, Hein Htet beraksi bersama Selangor II bagi saingan Liga Perdana. — Facebook/SelangorFC

Bagaimanapun, dari sudut positif dengan kedua-duanya berada dalam senarai tersebut pasti melonjakkan lagi reputasi dan nilai Liga M di pasaran Asia Tenggara.

Sementara itu, anak kepada legenda bola sepak Singapura, Ilhan Fandi turut tersenarai yang mana dia menduduki di tangga ke-lapan dengan nilai sebanyak 150,00 Euro (RM695,203 ribu).

Ilhan yang baru sahaja berhijrah ke liga divisyen dua Belgium iaitu KMSK Deinze dijangka mengikut kecemerlangan kedua-dua abangnya iaitu Ikhsan dan Irfan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram