Sukma antara diteliti, KBS cari kaedah baharu kumpul dana


  • Podium
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Hannah sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mencari formula serta idea baharu untuk dapatkan dana. — Bernama

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti formula baharu bagi memperoleh dana dalam usaha untuk memperkasa dan memeriahkan lagi industri sukan negara.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, usaha itu dilihat sebagai kaedah baharu KBS dalam memastikan persatuan-persatuan sukan dalam negara khususnya mendapat dana yang mencukupi bagi mereka menghadapi perlawanan dan menganjurkan temasya sukan dalam meningkatkan prestasi atlet.

"Pada minggu lepas, saya ada berbincang dengan Kementerian Kewangan dan saya kata kita perlu formula serta idea baharu untuk dapatkan dana bagi persatuan sukan menganjurkan program (temasya atau perlawanan).

"Sama juga kita lihat dengan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma). Kita kena cari kaedah baharu kerana dahulu formulanya adalah Persekutuan bagi duit pada negeri untuk bina infrastruktur seperti bina stadium dan membuat penyelenggaraan," katanya pada pemberita selepas melancarkan logo baharu Persatuan Olympian Malaysia (MOA) di Shah Alam, pada Sabtu.

Beliau mengulas mengenai permohonan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) yang meminta kerajaan memberikan sedikit peruntukan bagi menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia ke-4 yang akan berlangsung di dalam negara September tahun ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram