Kedutaan Malaysia di Bahrain raikan kejayaan negara di Majlis FIFA


  • Podium
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Hamidin (kanan) menerima undangan ke Rumah Malaysia di Manama, pada Khamis. — Facebook/FAM

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menerima undangan ke Rumah Malaysia oleh Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Shazryll Zahiran di Manama, pada Khamis.

Hamidin diraikan Kedutaan Malaysia di Bahrain atas kejayaan beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-33 yang berlangsung di Manama, Rabu lalu.

Turut hadir ialah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram serta Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub.

Hadir sama, tiga Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Christopher Raj dan N. Saaran serta Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.

Pada majlis makan tengah hari berkenaan, Shazryll menyifatkan kejayaan Hamidin sebagai kebanggaan negara yang mampu melonjakkan nama Malaysia di pentas dunia.

Justeru, FAM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Bahrain kerana sentiasa memberi sokongan penuh sepanjang delegasi Malaysia berada di Manama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram