PENYERANG Arsenal, Eddie Nketiah mengkritik persembahan rakan sepasukannya berikutan kekalahan 0-1 menentang Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Nketiah berkata, anak-anak buah Mikel Arteta agak tidak bermaya ketika menentang Everton di Goodison Park.
Tandukan pemain pertahanan Everton, James Tarkowski pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memberikan The Toffees kemenangan ke atas Gunners.
Bercakap kepada laman web rasmi Arsenal, Nketiah turut mengakui ia adalah perlawanan yang mengecewakan pasukan berkenaan.
Dia bagaimanapun percaya keputusan itu akan memberi cabaran kepada Arsenal dan menjangkakan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu akan kembali mendapat momentum kemenangan ketika menentang Brentford hujung minggu depan.
“Ia adalah perlawanan yang sukar,” kata Nketiah.
Pemain Arsenal dikatakan tidak bertenaga ketika menentang Everton. — Agensi
Menurutnya, secara peribadi, dia melihat pasukan itu tidak berada pada tahap terbaik.
"Kami perlu menambah baik dan memastikan kami bangkit dalam perlawanan seterusnya.
"Kredit perlu diberikan kepada mereka kerana memberi saingan yang sengit kepada kami.
"Saya rasa kami sebagai satu pasukan tidak melaksanakan tugas dengan baik dan agak longlai sepanjang perlawanan.
"Semua orang pasti kecewa, jadi harapnya kami dapat menebus semula kekalahan ini dengan kemenangan tiga mata berharga pada perlawanan menentang Brentford kelak," tambahnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram