'Dah bincang dengan boss TMJ', JDT rancang aksi pramusim 2024 di Eropah


  • Podium
  • Rabu, 08 Feb 2023

Aksi Arif Aiman ketika mewakili JDT menentang Zenit St Petersburg ketika program pramusim kelab itu di Dubai. — Facebook

KELAB elit di selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) merancang untuk mengadakan aksi pramusim di Eropah pada tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengurus dan Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari menerusi kenyataan di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

"Saya berbincang dengan 'Boss', Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik JDT) dan berkemungkinan kami akan mengadakan kempen pramusim di Eropah pula pada tahun depan," kata pengendali import dari Argentina itu.

Bagi musim ini, kelab Harimau Selatan mengharungi siri pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

JDT menamatkan aksi pramusim itu dengan kekalahan 0-3 di tangan juara Liga Rusia, Zenit St Petersburg.

Pada aksi terakhir menentang gergasi Rusia itu, skuad Harimau Selatan tewas hasil jaringan Rodrigo, Malcom dan jaringan Danila Kozlov dengan semua gol dihasilkan pada separuh masa perlawanan.

Solari mengakui empat aksi persahabatan kompetitif yang diharungi di UAE amat penting buat pasukannya sebagai persediaan menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirai pada 24 Februari depan.

Solari berkata, dia sudah menjangka kekalahan di tangan Zenit kerana standard tinggi yang dimiliki pasukan lawan.

"Ini adalah perlawanan yang kami sememangnya perlukan untuk memastikan kami humble dan tidak mengambil apa-apa dengan mudah sebelum bermulanya musim 2023.

"Dengan menentang lawan yang mempunyai standard lebih tinggi, dalam situasi ini berdepan juara Liga Rusia yang bermain di Liga Juara-Juara Eropah akan membantu kami untuk belajar dan bertambah baik.

"Ini adalah satu-satunya cara untuk kami menjadi lebih mantap dan lebih kuat," katanya.

JDT sebelum ini mengharungi empat perlawanan di Dubai dengan tewas 0-2 kepada FC Rostov pada aksi pertama sebelum menang 3-0 dan 1-0 ke atas Fursan Hispania dan Lokomotiv Moscow.

Sementara itu, satu lagi aksi persahabatan JDT ketika berdepan Levski Sofia ditamatkan lebih awal susulan pergaduhan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram