'Berehatlah dengan tenang, Ahmet', terkorban gempa bumi, FIFA ucap takziah kematian penjaga gol Turkiye


  • Podium
  • Rabu, 08 Feb 2023

Ahmet Eyup dilaporkan hilang pada Isnin lalu dan disahkan meninggal dunia akibat menjadi korban gempa bumi. — Twitter

PENJAGA gol Turkiye, Ahmet Eyup Turkaslan disahkan meninggal dunia akibat gempa bumi yang melanda negara itu pada Isnin.

Perkhabaran sedih itu dimaklumkan kelabnya, Yeni Malatyaspor di laman Twitter.

"Penjaga gol kami, Ahmet Eyup Turkaslan kehilangan nyawanya selepas menjadi mangsa runtuhan gempa bumi. Rehatlah dengan tenang,

"Kami tidak akan melupakan anda, seorang yang sangat baik," kata kelab yang berpangkalan di Malatya itu.

Ahmet Eyup, 28, bermain enam kali untuk kelab divisyen dua Turki Yeni Malatyaspor selepas menyertai kelab itu pada 2021.

Dia dilaporkan hilang pada Isnin lalu dan kelab itu kini memberi penghormatan kepada penjaga gol mereka selepas dia disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, FIFA dalam satu ciapan balas kepada hantaran berkenaan turut menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah atas kematian Ahmet Eyup.

"Menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Ahmet, rakan-rakan dan semua orang di kelab Yeni Malatyaspor.

"Berehatlah dengan tenang, Ahmet," tulisnya.

Angka kematian akibat gempa bumi dahsyat di selatan Turkiye pada Isnin meningkat kepada 5,894.

Menurut Naib Presiden Fuat Oktay pada Rabu, jumlah yang cedera akibat gempa bumi besar yang berpusat di wilayah Kahramanmaras itu seramai 34,810.

Gempa bumi itu turut memusnahkan negara jiran Syria. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram