AKTIVITI beriadah seperti berbasikal sepatutnya menjadi perkara yang positif namun sejak kebelakangan ini ramai orang awam mula 'naik angin' dengan sikap sebilangan sekumpulan penunggang basikal.
Seperti video tular baru-baru ini memaparkan satu rakaman video sekumpulan penunggang basikal berkonvoi tanpa memperdulikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain, malah membahayakan diri sendiri.
Mana tidaknya, aktiviti tersebut dilakukan pada waktu malam yang mana makin mengundang kepada risiko kemalangan jalan raya kepada mereka dan pengguna jalan raya lain.
Rakaman tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Malik Noor di laman Komuniti Putrajaya- Official pada 20 Januari lalu.
"Risau betul tengok geng-geng basikal di Putrajaya malam-malam," luah pengguna Facebook berkenaan.
Menerusi rakaman tersebut menunjukkan sekumpulan penunggang basikal itu kelihatan menggunakan laluan utama jalan raya, bukannya laluan kecemasan.
Tindakan sebahagian penunggang basikal itu itu semakin merisaukan penduduk setempat sehingga mereka mengharapkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan sewajarnya.
"Perbadanan Putrajaya saya cadangkan buatlah sehari bebas kenderaan. Adakan satu tempat untuk mereka berbasikal. Kes rider basikal kena langgar ini bukan baru, kadang kami pemandu kereta kena mengalah demi keselamatan mereka.
"Tapi kadang-kadang mereka pula yang besar kepala, suka hati di tengah jalan raya. Kuat kuasa undang-undang demi keselamatan penduduk Putrajaya. Jangan dah terhantuk baru nak terngadah," komen pengguna akaun, Ahmad Albab.
"IPD Putrajaya harap dapat buat sesuatu dengan geng ini. Makin menjadi-jadi," kata seorang lagi pengguna Facebook, Khairul Muhammad.
Pada 2020, seorang penunggang basikal wanita maut setelah basikal yang ditunggangnya dilanggar lori di Jambatan Putrajaya berdekatan Kelab Tasik Putrajaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram