KELANTAN United FC (KUFC) nampaknya tidak mahu ketinggalan menyambar pemain-pemain import berkualiti apabila memperkenal 'senjata' baharu pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.
KUFC di laman Facebook pada Sabtu memperkenalkan dua lagi import masing-masing seorang dari Kyrgyzstan dan Brazil akan memperkuatkan pasukan Kijang Hijau.
Penyerang antarabangsa Kyrgyzstan, Ernist Batyrkanov, 25, disahkan menyertai KUFC untuk musim 2023.
Pemain yang pernah beraksi di Liga Kazakhstan serta Armenia itu melengkapkan perpindahan dan didaftarkan untuk saingan Liga Super musim ini.
Pada musim 2022, Ernist telah membantu kelab terakhirnya, Abdysh-Ata Kant muncul Juara Liga Kyrgyzstan dan Piala Kyrgyzstan.
Sementara itu, pertahanan tengah dari Brazil, Yan Victor Silva Paixão direkrut menyertai skuad Kijang Hijau untuk musim 2023.
Yan Victor bermain di bahagian pertahanan tengah pasukan. — Facebook KUFC
Yan Victor merupakan bekas pemain kebangsaan skuad B-15 dan B-17 Brazil, namun memulakan karier awalnya bersama kelab Liga Utama Portugal, Gil Vicente pada musim 2016/17.
Semusim kemudian, pemain yang mempunyai ketinggian 1.89 meter itu menyertai kelab Marinhense sebelum ke kelab Cova Piedade.
Pada musim 2020/21, Yan Victor beraksi di negara kelahirannya apabila menjadi pemain kelab Botafogo-SP dan beraksi 15 perlawanan pada tahun itu. Kariernya terus berkembang setelah dibawa ke Caxias-RS pada musim 2021/22.
Musim 2022, Yan Victor terbang jauh ke benua Asia setelah menyertai kelab Liga Korea, Chungbuk Cheongju FC.
Secara keseluruhannya, Yan Victor telah beraksi lebih 65 perlawanan sejak lima tahun lepas di tiga negara berbeza.
Sebelum ini, KUFC mengumumkan penyertaan pemain import dari Senegal, Morgaro Lima Gomis ke dalam pasukan itu, manakala dua lagi pemain import akan diumumkan dalam masa terdekat menjadikan keseluruhan lima pemain import akan membarisi Kijang Hijau, bagi mengharungi cabaran Liga Super musim ini.
Saingan Liga Super musim ini dijangka bermula 24 Februari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram