Legenda Sabah imbau era lampau, bangga Sang Badak kembali ke pentas Asia


  • Podium
  • Ahad, 22 Jan 2023

Sabah pernah menjulang trofi Liga Perdana pada 1996 dengan sumbangan besar daripada Ollerenshaw.

SELEPAS bertahun-tahun dipandang rendah pihak lawan, Sabah FC berjaya mengejutkan penyokong bola sepak tempatan selepas mencatatkan satu musim yang bersejarah pada 2022.

Kehadiran ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee pada musim sebelumnya jelas membawa perubahan seperti mana yang diharapkan dengan pengalaman serta kepintarannya membuahkan hasil buat pasukan itu.

Selain itu, keserasian antara pemain muda dan berusia cukup membantu, termasuk kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang bersemangat dalam mengerah rakan sepasukannya.

Pencapaian skuad Sang Badak dapat disaksikan apabila mereka memberi tekanan kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) sebelum akhirnya menduduki tangga ketiga liga.

Kedudukan berkenaan sudah cukup untuk melayakkan pasukan Borneo itu ke Piala AFC musim depan selepas kali terakhir berentap bersama gergasi Asia pada 1995.

1873720 (1)

Skuad Sang Badak mempunyai pemain yang serba lengkap ketika ini. Facebook/Sabah FC

Hal tersebut pastinya cukup menggembirakan penyokong Sabah FC yang pastinya tidak sabar untuk sekali lagi menikmati persembahan terbaik daripada pemain.

Keceriaan itu turut dikongsikan bekas pemain import, Scott Ollerenshaw yang pernah mewakili kelab itu pada 1994 hingga 1997 di samping menjuarai beberapa kejohanan domestik.

Menurutnya, kejayaan tersebut pastinya cukup bermakna buat penyokong dan mereka yang terlibat dengan pasukan selepas bertahun-tahun tidak menikmati pencapaian seperti itu.

"Ia merupakan satu penantian yang cukup lama untuk peminat pasukan Sabah untuk melihat kelab mereka berada di pentas Asia.

"Sebagai seorang bekas pemain, ia adalah satu perkara yang berharga untuk melihat orang ramai masih menceritakan mengenai zaman kegemilangan dari 1994 hingga 1997, tetapi hal itu berlaku pada satu masa dahulu. Sekarang, mereka mempunyai satu pasukan yang boleh dibanggakan," katanya kepada Majoriti.

Ketika menyarung jersi Sabah FA, pemain antarabangsa Australia itu pernah membantu pasukan itu menjuarai Piala FA 1995 di samping menjuarai divisyen teratas bola sepak tempatan, Liga Perdana pada 1996.

scott

Ollerenshaw (kanan) merupakan antara import terbaik pernah dimiliki Sabah FC.

Malah, berdasarkan data yang diperolehi, Ollerenshaw memiliki satu catatan jaringan yang cukup menakjubkan apabila dia memperolehi 110 gol daripada 106 penampilan dalam semua pertandingan.

Kini, dia yang sudah berusia 54 tahun dilantik sebagai Pengarah Teknikal Sabah FC dalam membantu kelab itu mencatatkan satu kejayaan lebih bermakna pada masa akan datang.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai persiapan pasukan untuk 2023, Ollerenshaw menjelaskan bahawa kejayaan untuk mengekalkan tonggak skuad musim lalu merupakan antara kunci utama mereka.

"Mengekalkan beberapa pemain, seperti Stuart Wilkin, Saddil Ramdani, Park Tae-su, Dominic Tan, Gary Steven Robbat dan penyerang senior, Amri Yahyah cukup penting demi kestabilan skuad.

"Pemain tempatan baharu, termasuk Darren Lok, R Dinesh, Daniel Ting, Jafri Chew dan S Kumaahran akan menambah kualiti serta keupayaan kepada Sabah FC," katanya.

Baru-baru ini, pasukan tersebut juga difahamkan akan menambah baik reputasi mereka dengan membaiki Stadium Likas, Sabah yang bakal digunakan ketika aksi Piala AFC 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram