'Mana tahu dapat anugerah lagi', peledak Tok Gajah mahu jadi penyerang digeruni


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Lucas (kiri) akan bergandingan dengan Kpah di Sri Pahang FC musim ini. — Facebook

TONGGAK baharu Sri Pahang FC, Kpah Sherman mahu menjadi penyerang digeruni musim ini selain percaya dia mampu memperkuatkan barisan hadapan bersama-sama Lucas Silva.

Kpah menjadi taruhan baharu Sri Pahang untuk bergandingan dengan bekas pemain Penang FC, Lucas sekali gus menyaksikan skuad kendalian Fandi Ahmad itu akan mempunyai bahagian serangan yang lebih tajam kali ini.

Bagi pemain dari Liberia itu, Terengganu FC memberikan pengalaman yang cukup berbeza kepadanya apabila berjaya menjadi penjaring terbanyak TM Piala Malaysia musim lalu.

Dilabel 'mesin gol', Kpah mengakui harapan tinggi diletakkan atas bahunya dan sudah tentu dengan kualiti yang ada, dia ingin menjadi salah seorang penyerang yang lebih baik kali ini.

“Sudah tentu rasa bagus apabila ada orang yang meletakkan harapan besar kepada kita dan saya harap saya dapat memberikan yang terbaik kepada Sri Pahang dalam Liga Super.

“Saya ingin bekerja lebih keras dan melakukan sedaya upaya melebihi musim lepas, mana tahu mungkin dapat meraih anugerah lagi.

“Saya memang nak menjaringkan lebih banyak gol, tetapi misi utama adalah bagaimana saya dapat membantu pasukan ini untuk menjadi pesaing yang hebat”, jelasnya menurut laporan MFL.

323443593_3409218959355229_981981769409929237_n

Mengagumi dengan karakter yang ada pada pengendalinya, Fandi membuatkan Kpah berbesar hati untuk berada di bawah bimbingan legenda Singapura itu.

Dia percaya, Fandi mampu untuk kembali meletakkan Sri Pahang di tahap lebih baik.

“Saya memang tahu bagaimana hebatnya jurulatih seperti Fandi dan dia merupakan seorang yang sangat senang untuk bekerja.

“Dia juga selalu menghubungi saya sebelum ini dan saya percaya kami semua mampu untuk melakukan sesuatu yang lebih cemerlang.

“Salah satunya adalah untuk cuba melayakkan diri ke Piala AFC dan kami semua teruja untuk memulakan saingan liga”, tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram