PEMAIN tengah menyerang Manchester United, Bruno Fernandes mendedahkan dia pernah mengingatkan rakan sepasukannya di The Red Devils tentang kemajuan yang dicapai musim ini menerusi kemenangan 2-1 ke atas Manchester City di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Selepas ketinggalan 1-0 dengan tandukan pembukaan daripada Jack Grealish, Man United menghidupkan permainan pada suku terakhir perlawanan hasil jaringan Fernandes dan Marcus Rashford.
Gol pertama daripada Fernandes pada minit ke-78 hampir dipertikaikan selepas pemain itu mengutip bola Rashford yang terdahulu berada dalam kedudukan ofsaid.
Namun VAR membenarkan gol berkenaan kerana Rashford tidak menyentuh bola tersebut.
Rashford kemudiannya menjadi muncul wira untuk Man United apabila meledak gol dalam tujuh perlawanan berturut-turut, dan memberikan kemenangan kesembilan buat pasukannya.
Ten Hag (kanan) memantau peningkatan kolektif pasukan yang ketara. — Agensi
Pemain berusia 25 tahun itu mencetak 16 gol musim ini dan mengukuhkan lagi kedudukan Man United untuk meletakkan The Red Devils hanya satu mata di belakang juara bertahan itu, yang menghuni tangga kedua EPL.
Man United menemui tonik baharu dengan pengurus pasukan, Erik Ten Hag memantau peningkatan kolektif pasukan yang ketara.
Fernandes mengakui bahawa dia mengingatkan rakan sepasukannya sebelum sepak mula apa yang telah mereka capai musim ini sebagai unit kolektif.
“Ia amat penting kepada pasukan untuk memenangi perlawanan. Seperti yang saya katakan sebelum ini, bagi kami, ia tidak penting siapa pun lawan kami, satu-satunya perkara yang penting ialah menang – dan kami berjaya melakukannya,” kata Fernandes kepada BT Sport.
Tambah Fernandes, ia adalah kemunculan semula yang menakjubkan bagi Man United dan usaha yang hebat daripada pasukan.
"Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan kepada pasukan - kami kelihatan seperti satu pasukan sekarang," ujarnya.
Mengenai golnya, Fernandes menambah: "Saya fikir kerana saya yang menghadap pintu gol, jadi mungkin Rashford melihat saya sedang berlari dan berada dalam kedudukan yang lebih baik.
"Saya tidak tahu sama ada ada di antara kami (Fernandes dan Rashford) yang ofsaid atau tidak, tetapi ia tidak menjejaskan apa-apa kerana tiada sesiapa yang berada rapat dengannya (Rashford). Ia adalah gol dan kami semua gembira dengan jaringan itu." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram