Harimau Malaya gagal kawal emosi, ambil masa lama 'settle down'


  • Podium
  • Selasa, 10 Jan 2023

Perebutan bola berlaku antara Faisal dan Theerathon pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022. — Faecbook/FAM

SKUAD Harimau Malaya mengharungi cabaran separuh akhir kedua menentang Thailand dengan cukup bergelut pada kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (Piala AFF) 2022 di Stadium Thammasat, Pathum Thani pada Selasa.

Anak-anak buah Kim Pan-gon tidak dapat membawa momentum permainan yang baik sewaktu aksi separuh akhir pertama menentang skuad Gajah Perang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lepas.

Setakat babak pertama perlawanan menyaksikan masalah berbangkit membelenggu skuad kebangsaan yang mana kelemahan bahagian tengah terus menjadi duri dalam daging kepada Harimau Malaya.

Kombinasi bahagian tengah pasukan yang tidak seimbang dapat dilihat apabila Mukhairi Ajmal, Brendan Gan dan Stuart Wilkin gagal mewujudkan persefahaman dengan baik dalam kawalan serta penghantaran bola.

Mukhairi seperti biasa, selalu kehilangan bola manakala Stuart pula kurang menyinar tidak seperti persembahannya ketika menentang Singapura sebelum ini.

Selain itu, pemain Harimau Malaya juga tidak dapat mengawal emosi dan mengambil masa yang lama untuk settle down dalam perlawanan.

Kapten pasukan, Faisal Halim antara yang dilayangkan kad kuning pada minit ke-29 selepas terlebih dahulu diberi amaran oleh pengadil berikutan kekasaran kepada Theerathon Bunmathan.

Bagaimanapun, pujian perlu diberikan kepada pertahanan kental, Sharul Nazeem dan penjaga gol, Syihan Hazmi yang beberapa kali mematahkan serangan tajam anak-anak buah Alexander Polking.

Selepas 90 minit masa penuh permainan, Thailand menang 3-0 hasil Teerasil Dangda pada minit ke-19, Bordin Phala (55) dan penyerang baharu Terengganu FC, Adisak Kraison pada minit ke-71, sekali gus mara ke final menerusi agregat 3-1 dan bakal membuat perhitungan dengan Vietnam yang mengatasi Indonesia menerusi agregat 2-0 dalam satu lagi separuh akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram