PASUKAN Liga Super yang berpangkalan di Pantai Timur, Kelantan FC masih belum merancang untuk memiliki stadium baharu atau menaik taraf padang sedia ada di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Pemilik pasukan The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman berkata, penaiktarafan infrastruktur itu memerlukan pelaburan yang tinggi dan kelab perlu berbelanja besar untuk tujuan berkenaan.
Kenyataan itu sekali gus menafikan perkhabaran mengatakan skuad TRW dikatakan bakal membuat pelaburan besar untuk padang baharu bertaraf antarabangsa.
"Bukan dari saya (kenyataan) itu. Tiada dalam perancangan kita (kelab) buat masa ini. Bukan pada waktunya lagi.
"Soal stadium ni kita ada kerjasama dengan kerajaan. Kerajaan ada stadium, ada bajet.
"Baik kerajaan yang buat dan bangunkan dan kita (kelab) sewa sahaja...itu saya rasa kerjasama yang bijak," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, sebuah portal sukan melaporkan Kelantan FC dikhabarkan bakal memiliki padang baru bertaraf antarabangsa untuk kegunaan saingan Liga Super 2023.
Norizam berpendapat, bajet kelab yang ada lebih baik digunakan untuk pembangunan akademi atau pusat latihan. — Facebook
Sementara itu, Norizam berkata, jika ada lebihan peruntukan, dia berasakan adalah lebih baik ia digunakan untuk pembangunan akademi atau pusat latihan.
Stadium Sultan Muhammad IV berwajah baharu pada Ogos lalu setelah kerja-kerja menaik taraf stadium tersebut dilaksanakan dengan menelan belanja RM5.5 juta.
Kerja-kerja naik taraf stadium tersebut merangkumi pemasangan lampu limpah baharu yang mematuhi standard Malaysian Football League (MFL).
Selain itu, ia turut membabitkan proses baik pulih bilik persalinan pemain dan tandas awam untuk penonton serta pemasangan blok laluan di pintu masuk astaka stadium.
Untuk rekod, pada September tahun lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pernah menjawab isu peruntukan penambahbaikan stadium yang bernilai RM10 juta.
Katanya, peruntukan itu akan digunakan bagi kebanyakan padang stadium yang memerlukan baik pulih atau penambahbaikan di seluruh Malaysia dan ia termasuk Stadium Sultan Muhammad IV. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram