Tiada pengalaman main kelab luar, 'tanker' baharu TFC tetap teruja datang ke Liga M


  • Podium
  • Isnin, 02 Jan 2023

Sardor Kulmatov menjadi pemain import terbaharu Terengganu FC musim ini. — Agensi

PEMAIN pertahanan import dari Uzbekistan, Sardor Kulmatov menjadi sandaran terbaru pasukan Terengganu FC (TFC) untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) dan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif, Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Ab Rasid Jusoh, berkata, pemain berusia 28 tahun itu menjadi pilihan Ketua Jurulatih, Tomislav Steinbruckner untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain kelahiran Senegal, Pape Diakite, yang tidak disambung kontrak.

Beliau berkata, pengalaman luas yang dimiliki oleh pemain berketinggian 1.85 meter itu pastinya mampu memperkuat benteng pertahanan TFC yang akan berdepan lebih banyak jumlah perlawanan di Liga-M dan juga saingan AFC.

"Kulmatov sebelum ini beraksi bersama Sogdiana FC di liga tertinggi di Uzbekistan. Ini adalah kali pertama beliau beraksi luar dari negaranya dengan menyertai TFC di Liga M.

"Bagaimanapun, beliau mempunyai pengalaman yang baik di pentas Asia dengan membantu pasukan mara ke peringkat separuh akhir musim lepas," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Ab Rasid berkata, Kulmatov sudah berada di Terengganu dan akan memulakan latihan bersama rakan sepasukan di bawah bimbingan Penolong Ketua Jurulatih, Badrul Afzan Razali, yang sebelum ini mengemudi pasukan 'adik', Terengganu FC ll (TFC ll) pada Isnin.

Menurut beliau pemain tersebut amat teruja untuk memulakan musim baharu bersama TFC yang disifatkan sebagai antara pasukan terbaik di Malaysia dan memiliki jumlah penyokong yang ramai.

"Ketua jurulatih, Tomi (Tomislav Steinbruckner) akan tiba di Terengganu, Rabu ini. Untuk sementara waktu, latihan akan dikendalikan oleh penolong beliau, Badrul Afzan yang baru sahaja dinaikkan pangkat daripada pasukan ‘adik’ ke pasukan ‘abang’ bagi musim 2023," katanya.

TFC sebelum ini membawa masuk pemain sayap import dari Haiti, Sony Norde dan penyerang Thailand, Adisan Kraisorn selain mengekalkan khidmat pemain tengah, kelahiran Bahrain, Habib Haroon, bagi membentuk skuad Penyu 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram