Jadi buruan kelab Liga M, ketahui pro kontra 'winger' Garuda ke Selangor, Sabah FC


  • Podium
  • Ahad, 01 Jan 2023

Egy (tengah) berjaya menjaringkan dua gol ketika berdepan Kemboja dan Brunei dalam kempen Piala AFF 2022. — Agensi

SELAIN Malaysia, skuad kebangsaan Indonesia juga sibuk mengharungi kempen Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 yang menyaksikan pasukan Merah Putih di tempat kedua carta kumpulan A di belakang Thailand, dengan kedua-duanya berkongsi tujuh mata.

Selain Jordi Amat dan Saddil Ramdani yang menempa nama di Liga Malaysia, bintang muda skuad Garuda, Egy Maulana Vikri antara pemain terbaik yang mendapat perhatian dengan jaringan dua gol ketika berdepan Kemboja dan Brunei.

Menerima gelaran Messi Indonesia, pemain sayap itu wajar diberikan perhatian kerana kelincahan dan ketajaman persembahannya di atas padang mewujudkan peluang kepada rakan sepasukan.

Baru-baru ini, pemain berusia 22 tahun itu dikaitkan dengan dua kelab Liga Super selepas kontraknya dengan kelab Slovakia, ViOn Zlate Moravce tamat pada awal Disember lalu.

1882794

Khabar angin menyebut Maulana terbuka untuk ke Selangor FC musim depan. Agensi

Berdasarkan khabar angin, Selangor FC dan Sabah FC difahamkan menjadi antara kelab yang berminat mendapatkan tandatangan pemain tersebut bagi menghadapi saingan musim depan.

Prospek yang semakin mencipta nama itu dikatakan menjadi buruan dua kelab berkenaan berikutan kelompangan pemain di posisi sayap kanan ketika ini.

Sabah FC mungkin terpaksa bekerja keras mendapatkan Egy memandangkan pemain itu pernah dirisik Selangor FC pada 2017, namun dia memilih haluan untuk berkelana di Eropah.

1730947

Saddil akan bergandingan dengan Egy jika pemain itu sah ke Sabah FC. — Facebook

Di kelab Borneo itu, Egy dirasakan tiada masalah untuk bergandingan dengan rakan senegaranya, Saddil yang memilih kekal di skuad The Rhinos di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk semusim lagi.

Pastinya, sudah wujud chemistry antara kedua-dua pemain itu dalam percaturan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan tersebut.

Kontranya mungkin pada gaya permainan yang akan lebih mudah untuk dibaca dan diperhatikan pihak lawan memandangkan kedua-duanya adalah pemain Indonesia.

8FA3BB66-EB53-4345-891F-074512938878

Faisal Halim akan menjadi gandingan Egy jika pemain itu sah ke Selangor FC. — Facebook

Di Selangor FC, Egy boleh bergandingan dengan penyerang sayap kebangsaan, Faisal Halim. Dari satu sudut, Egy boleh menimba pengalaman daripada pemain lincah yang semakin digeruni itu selain mendapat bimbingan bekas jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Peluang itu juga sekali gus boleh digunakan Egy untuk menjadi salah seorang import konsisten dalam saingan Liga Malaysia.

Begitupun, Egy perlu berdepan saingan daripada Hein Htet Aung dalam kesebelasan utama memandangkan bintang muda dari Myanmar itu menjadi nadi utama posisi sayap kanan pasukan Gergasi Merah ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram