Baru jejak kaki ke Alor Setar, bintang baharu Kedah sudah serap semangat Hijau Kuning


  • Podium
  • Sabtu, 31 Dis 2022

Amirbek dikerumuni peminat yang mahu melihat pemain dari Tajikistan itu secara dekat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Alor Setar pada Sabtu. — Whatsapp

PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) FC mengumumkan pemain terbaharu mereka apabila mengikat pemain posisi tengah, Amirbek Jurobaev dari Tajikistan.

Ketibaan pemain itu di bumi Jelapang Padi pada Sabtu disambut dengan penuh rasa teruja oleh sebahagian penyokong yang hadir di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.

Mengenakan topi dan jaket berwarna hijau gelap, bintang baharu Kedah itu bagai sudah menyerap semangat Hijau Kuning apabila dia kelihatan tidak kekok melaungkan slogan 'Pulun Kedah Pulun' yang menjadi azimat KDA FC.

Malah dalam rakaman video yang dikongsikan Khairul Afdzal di group WhatsApp KEDAH DARUL AMAN turut menunjukkan Amirbek sporting apabila diminta melaungkan slogan berkenaan sekali lagi sambil disambut sorakan serta tepukan peminat.

Pemain berusia 26 tahun yang bakal beraksi di bahagian tengah pasukan Sang Kenari itu juga kelihatan bersemangat menggayakan mafla Hijau Kuning KDA FC.

Kehadiran pemain import itu bakal mengisi kekosongan kuota import pasukan Sang Kenari selepas menggugurkan dua pemain sensasi mereka pada musim ini iaitu Ronald Ngah dan Mahmoud Al-Mardi.

WhatsApp Image 2022-12-31 at 14.50.14

Amirbek dan keluarganya tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Alor Setar pada Sabtu. — Whatsapp

Berketinggian 1.79 meter, pemain skuad kebangsaan Tajikistan itu sudah mewakili pasukan negaranya sejak 2014 dengan 46 penampilan setakat ini.

Musim lepas dia mewakili United City FC di Liga Filipina selain pernah membarisi beberapa kelab terkemuka Asia antaranya Istikhol FC, CSKA Akademia dan Navbahor Namangan FC.

Penyertaan Amirbek cukup mengujakan penyokong Sang Kenari apabila ada yang mengharapkan pemain itu kekal beraksi untuk sekurang-kurangnya dua hingga tiga musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram