MENJELANG saingan Liga Super yang bakal bermula tidak lama lagi, kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) begitu rancak mempersiapkan pasukan masing-masing.
Tentunya perhatian peminat bola sepak tanah air terarah kepada pertukaran pemain berkualiti yang boleh memberikan impak positif kepada pasukan.
Sebagai juara Liga Super, kelab elit selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT), pastinya giat menjalankan persiapan rapi bagi meghadapi Piala AFC 2023.
Nama-nama bintang kini berada dalam radar pasukan kendalian jurulatih baharu, Estaban Solari yang menggantikan Hector Bidoglio selepas pengendali dari Argentina itu dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal JDT.
Ketika ini, nama pemain tengah skuad Atromitos Athen yang berpangkalan di Greece, Juan Muniz dikhabarkan bakal memperkuat pasukan gergasi yang juga juara Piala FA dan Piala Malaysia musim 2022.
Muniz (kanan) dikhabarkan bakal memperkuat pasukan JDT musim depan. — Agensi
Perpindahan Muniz ke skuad Harimau Selatan dikongsikan media Greece, Transfermarkt_ Hellas.
“Juan Muniz akan meneruskan kariernya ke sebuah kelab di Malaysia iaitu JDT," tulisnya.
Menariknya, hantaran berkenaan mendapat like daripada Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Kiko Insa yang juga adik kepada tonggak tengah Harimau Selatan, Natxo Insa.
Kiko Insa menyertai pasukan Harimau Selatan pada Mei 2018 sebelum bersara dari kelab itu pada 1 Januari 2021.
Menguatkan lagi perpindahan pemain kelahiran Gijon, Sepanyol itu apabila Muniz sendiri mengikuti laman Instagram pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan laman rasmi media sosial kelab tersebut.
Khidmat pemain berusia 30 tahun itu dipercayai ditagih bagi membolehkan penggiliran dibuat kepada tonggak pemain tengah menyerang (AMF) JDT ketika ini iaitu Leandro Velazquez.
Penggiliran pemain boleh dibuat ke atas Leandro yang bermain posisi sama dengan Muniz. — Facebook
Seperti Leandro, Muniz yang juga bekas pemain skuad bawah 19 tahun Sepanyol juga disebut-sebut memiliki kepakaran mengambil sepakan percuma.
Skil 'mahal' itu pastinya akan memberi kelebihan kepada JDT lagi-lagi berdepan lawan yang lebih kuat di peringkat antarabangsa dalam saingan Piala AFC 2023 kelak.
Tambahan lagi, pengalamannya beraksi dengan beberapa kelab Sepanyol seperti Sporting Gijon, CD Mirandés, Gimnàstic de Tarragona dan CD Lugo juga akan memberi kelebihan kepada JDT.
Begitupun, di sebalik itu, Muniz perlu memberikan cabaran sengit untuk menembusi kesebelasan utama pasukan lagi-lagi kebanyakan pemain JDT adalah pemain berprestasi tinggi.
Ini termasuk Leandro yang terkenal dengan jolokan nama 'budak nakal' yang sentiasa menjadi watak penting kepada JDT kerana kelincahan dan kepantasan lariannya.
Ketiadaan pemain dari Argentina itu pasti akan dirasai jika dia tidak diturunkan dalam pasukan atas faktor tertentu seperti kecederaan dan sebagainya. Justeru, Muniz harus menggalas tanggungjawab besar andai perlu mengisi tempat Leandro. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram