KEPUTUSAN pasukan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) mengekalkan penjaga gawang, Ifwat Akmal untuk liga musim depan mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penyokong Sang Kenari.
Manakan tidak, prestasi yang ditunjukkan penjaga gol itu sepanjang musim lalu kurang memberangsangkan.
Selain itu, isu kecergasan turut menghalang pemain tersebut daripada terus bersinar apabila dia mengalami kecederaan pada pertengahan musim, sekali gus memaksa pemain berpengalaman, Shahrel Sa'ari mengisi kekosongan terbabit.
Ifwat dikritik hebat oleh penyokong yang mana ada yang menganggap bekas penjaga gol skuad B-23 kebangsaan itu menjadi punca kekalahan dialami Kedah.
Ifwat (dua kiri) dikritik antara lain kerana isu masalah kecergasan. — Facebook
Untuk rekod, sepanjang kemunculan Ifwat dalam liga tanah air musim lalu, dia hanya mampu merekodkan lima perlawanan tanpa dibolosi daripada 15 penampilan.
Tidak cukup dengan itu, dia juga gagal untuk mempamerkan prestasi konsisten sepanjang musim, termasuk kerap melakukan kesilapan mudah ketika berdepan pihak lawan.
Hal tersebut menyebabkan Ifwat sering dilihat pihak lawan sebagai 'lubuk' untuk mengumpan serangan.
Bagi penyokong Hijau Kuning, mereka berpendapat perkara itu bukanlah satu keputusan yang tepat dan kekecewaan itu diluahkan menerusi media sosial.
"Jersi nombor satu tu tandatangan seumur hidup ka dengan Kedah...," kata Reymond GP.
"Ifwat kontrak berapa tahun langsung ooo...muka dia saa tiap-tiap tahun," kata Mohamad Shahir Chin.
"Ifwat kontrak mati ke? Badan tu kena fitkan lah (musim depan)," tulis Shazwan Fazriel pula.
Selepas jendela perpindahan Liga Malaysia dibuka pada Khamis, KDA FC tidak menunggu lama untuk melakukan rombakan terhadap pasukan dengan melepaskan beberapa pemain skuad utama.
Selain lima pemain import, skuad Sang Kenari juga bertindak melepaskan beberapa pemain senior termasuk Syazwan Zainon dan Azamuddin Akil yang semakin menghampiri tempoh pengakhiran karier masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram