Prestasi kurang memuaskan punca lebih sedozen pemain Kedah disingkirkan — CEO


  • Podium
  • Ahad, 04 Dis 2022

Rombakan tersebut dilakukan selepas penilaian dibuat terhadap para pemain. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dilihat semakin serius dalam memantapkan pasukan selepas kelab berkenaan memuat rombakan secara besar-besaran bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Menerusi pengkongsian di laman Facebook pasukan Sang Kenari, seramai sedozen pemain tempatan dilepaskan oleh skuad Hijau Kuning dan tiga daripadanya ialah pemain berpengalaman yang sudah menabur bakti lebih dua musim bersama Kedah.

Tiga pemain berpengalaman tersebut ialah kapten, Syazwan Zainon; penyerang, Azamuddin Akil dan penjaga gol, Shahril Saa’ri.

Sembilan lagi pemain yang turut tidak disambung kontrak ialah Azmeer Aris, Khairu Azrin, Fikhri, Ilham Amirullah, Asnan Ahmad, Amirul Azhan, Amer Azahar, Syazwan Tajuddin dan Afeeq Iqmal.

KDA FC mengesahkan bahawa seramai 12 pemain sahaja akan dikekalkan dan mereka adalah Mohammad Fayadh, Amirul Hisyam, Rodney Celvin, Akmal Zahir, Mohd Aiman Afif, Ifwat Akmal, Fadzrul Danel dan Ariff Farhan, Mohamad Al-Hafiz Harun, Muhammad Kamil Akmal Abd Halim, Mohamad Heshamudin Ahmad dan Mohd Loqman Hakim Marzuki.

PEMAIN KEKAL

Antara pemain yang masih dikekalkan bersama skuad Sang Kenari pada musim depan. — Facebook/KDA FC

Kesemua tonggak itu mempunyai baki kontrak bersama Kedah sehingga 2023 nanti.

Rombakan yang dilakukan oleh pasukan Kedah itu membawa persoalan dalam diri penyokong mengenai hala tuju skuad Sang Kenari dan sebab di sebalik pengguguran beramai-ramai pemain tersebut.

Menjawab persoalan berkenan, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali menyatakan bahawa keputusan tersebut dilakukan selepas penilaian dibuat terhadap para pemain.

Khamal Idris berkata, penguguran seramai 17 pemain termasuk lima tonggak import itu dilakukan bagi membolehkan pasukan Kedah bersaing untuk saingan liga pada musim depan.

Sebelum ini Khamal menyatakan bahawa Kedah tidak memperbaharui kontrak lima pemain import iaitu Ronald Ngah Wanja, Mahmoud Al-Mardi, Sanrawat Dechmitr, Dechi Marcel Nguessan dan Marc Vales.

“Sebab mereka keluar ialah kami nak buat pasukan berdasarkan persembahan masing-masing.

“Kami nak bersaing dalam Liga Super. Nak duduk dalam kedudukan yang terbaik. Kami tidak hanya fokus pemain muda, ada juga pemain berpengalaman,” katanya kepada Majoriti.

KEDAH MOU

Pemilik KDA FC, Tan Sri. Dr. Mohd Daud Bakar akan mengumumkan perancangan musim depan dengan tema 'Sang Kenari - New Journey New Path' pada Selasa ini. — Facebook/KDA FC

Tambah bekas pemain Kedah itu, maklumat lebih lanjut mengenai hala tuju skuad Sang Kenari pada musim depan akan diumumkan pada 6 Disember 2022 nanti.

Menerusi laman Facebook rasmi Sang Kenari, pasukan berkenaan akan mengadakan Majlis Menandatangani MoU Rakan Strategik dan Ketua Jurulatih KDA FC musim 2023 pada Selasa nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram