'Upgrade' fasiliti stadium, pengurusan siapkan Sabah ke pentas Asia


  • Podium
  • Ahad, 27 Nov 2022

Aksi Sabah FC ketika menentang JDT dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. — Facebook

KEJUARAAN Johor Darul Takzim (JDT) menjulang trofi Piala Malaysia dalam aksi final menentang Selangor FC memberi peluang kepada Sabah FC mara ke Piala AFC 2023 selepas gagal meraih tiket kedua ke pentas Asia itu sebelum ini.

Pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga dengan mengumpul 42 mata dari 22 perlawanan.

Memandangkan juara Liga Super dan Piala FA 2022 adalah kelab yang sama iaitu JDT, maka slot kedua Piala AFC 2023 diberikan kepada juara Piala Malaysia 2022.

Dengan kejohanan itu diungguli anak-anak buah Hector Bidoglio, nasib menyebelahi skuad Sang Badak apabila mereka bakal bertanding di kejohanan peringkat benua itu musim depan.

312098101_3366413560272420_3427940356737312321_n

Marzuki berkata, Sabah memang layak ke Piala AFC kerana berjaya memperbaiki kedudukan Liga Super. — Facebook

Menyedari hakikat itu, Pengurus Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir berkata, beliau ambil maklum bahawa penyokong begitu teruja dengan khabar gembira itu dan mahu pengurusan melakukan tindakan segera bagi mempersiapkan pasukan menghadapi cabaran tersebut.

"Kita memang teruja dan gembira apabila dapat tahu JDT tewaskan Selangor yang sekali gus melayakkan Sabah ke Piala AFC 2023.

"Peluang ini amat dinanti-nantikan selepas 27 tahun. Sebagai pasukan ketiga di tangga carta Liga Super, Sabah memang layak.

"Kita berusaha keras sepanjang musim ini. Dari tangga kesembilan pada musim lepas sampailah kita dapat Top 3 musim ini, saya boleh katakan Sabah layak ke pentas Asia," katanya kepada Majoriti.

Kali terakhir Sabah beraksi di pentas Asia ialah pada tahun 1995 yang ketika itu dikenali sebagai Asian Cup Winners’ Cup anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Menghadapi cabaran itu, Sabah perlu tampil dengan skuad yang lebih mantap pada musim depan untuk memberi saingan di pentas Asia sekali gus mengharumkan nama negara seperti mana dilakukan oleh pasukan KL City musim ini.

Justeru, Marzuki berkata, Sabah FC dalam perancangan untuk memperkukuhkan beberapa aspek dari pasukan hingga fasiliti stadium sebagai antara persediaan ke kejohanan antarabangsa itu.

"Sabah ada perancangan tapi kita perlu berbincang dengan pengurusan tertinggi dahulu. Cumanya apabila beraksi di peringkat Piala AFC, persediaan kena lebih kukuh dari segi pemain.

"Kita juga mahu upgrade fasiliti stadium. Kita tak boleh tengok saja, apa-apa yang kena perbaiki kena buat.

"Ini supaya (fasiliti) dapat memenuhi kriteria-kriteria tertentu yang ditetapkan. Misal kata, kalau kena main di Stadium Likas, fasiliti perlu berada di tahap terbaik," katanya.

314037243_3391336684446774_7034546522254445359_n

Sabah FC akan memantapkan skuad bagi menghadapi Piala AFC 2023. — Facebook

Sementara itu, berhubung pemain-pemain baharu yang bakal beraksi dalam Liga Malaysia pada musim depan, Marzuki berkata, Sabah akan membuat pengumuman mengenai perkara itu pada 1 Disember depan.

"Dengan gandingan muka baharu dan lama nanti, saya berharap pasukan ini akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang meraih tiket layak ke piala AFC," ujarnya.

Sebelum ini, slot pertama kejuaraan tahap dua kelab Asia itu menjadi milik Terengganu FC (TFC) yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

JDT pula meraih slot tunggal ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 selepas muncul juara Liga Super 2022.

Berdasarkan rekod, JDT satu-satunya wakil dari Malaysia dan Asia Tenggara yang berjaya menjuarai Piala AFC pada tahun 2015. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram