Kecoh spekulasi nak beli tonggak muda Selangor, ini jawab Norizam


  • Podium
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Norizam berhasrat agar Kelantan akan memiliki pemain seperti pemain Selangor, Ankrah.

SELEPAS hantaran Facebook yang dikeluarkan oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengenai tonggak pertahanan dari Selangor FC, Richmond Tetteh Ankrah, usahawan berkenaan tampil memberikan respons.

Berdasarkan hantaran yang sudah dipadam oleh Norizam atau juga dikenali sebagai Zamburger itu, dia seperti menunjukkan minatnya untuk membeli pemain muda Gergasi Merah berkenaan.

“Nampak no 33 ini bagus main,” tulisnya pada hantaran di Facebook miliknya pada Rabu.

Menurut Norizam yang memiliki rangkaian francais Zamburger itu, hantaran berkenaan mempunyai mesej tersirat apabila dia berhasrat untuk memiliki pemain berkualiti seperti import Gergasi Merah tersebut.

Jelasnya, hantaran yang dimuat naik pada Rabu itu tidak membawa maksud lain seperti yang didakwa penyokong iaitu dia sedang dalam perancangan untuk merekrut pemain kelahiran Ghana itu.

WhatsApp Image 2022-11-17 at 9.04.20 PM

Hantaran yang dimuat naik oleh Norizam pada Facebook miliknya.

“Saya ni sebagai pemilik kelab, saya sukalah tengok bola. Takkanlah saya nak tengok kelab saya sahaja bermain. Saya tengok pemain itu bagus.

“Saya cuma cakap dia bagus, bukan nak saya beli. Saya cuma harap suatu hari nanti Kelantan akan ada pemain yang sebagus pemain itu,” jelasnya.

Tambahnya, meskipun dia mempunyai rancangan untuk membeli bintang berkualiti namun aspek dari segi bajet ataupun modal perlu menjadi dititikberatkan dahulu.

Screenshot 2022-11-18 at 8.57.58 PM

Ankrah semakin menyerlah di bawah sentuhan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

“Saya mempunyai impian untuk mempunyai pemain sebagus itu dengan kemampuan dan bajet yang Kelantan ada.

“Tak bermaksud, bila saya letak gambar itu saya nak beli pemain berkenaan.

“Tidak salah kan untuk bercita-cita, saya sebagai pemilik kelab kena ada cita-cita. Jika saya sebagai pemilik kelab tiada cita-cita ibarat tiada hala tuju,” jelasnya.

Aksi cemerlang Ankrah mendapat perhatian Zamburger sewaktu perlawanan separuh akhir pertama antara Selangor FC dan Terengganu FC pada Rabu lalu.

Dalam perlawanan itu, Ankrah yang merupakan bekas pemain Selangor 2 itu menjadi perhatian penyokong selepas menjaringkan gol pada minit ke-37. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram