PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendedahkan keputusan meletakkan bekas pegawai khasnya, Chong Yew Chuan sebagai calon Cheras dibuat untuk memberi pilihan kepada pengundi muda untuk memilih calon yang mewakili aspirasi mereka.
Tambah beliau, jika Barisan Nasional (BN) mahu melakukan transformasi seiring dengan nadi generasi muda, mereka harus memilih calon yang boleh memahami keperluan golongan tersebut.
"Generasi muda dahagakan pembangunan. Oleh itu, mereka memerlukan seseorang untuk menjadi 'suara' mereka," kata Ka Siong
Biarpun menyedari bahawa kawasan Cheras adalah kubu kuat DAP, namun itu tidak menghalang beliau untuk meletakkan calon di kawasan tersebut.
"Saya memilih Chong kerana semangatnya yang tidak kenal lelah. Chong juga sentiasa bersedia untuk dihantar ke mana sahaja dan mahu berbakti kepada rakyat setempat," jelas Ka Siong.
Ka Siong ditemui media di Pusat Rekreasi Cheras, Kuala Lumpur ketika menyokong jurutera awam terlatih berusia 39 tahun yang lebih dikenali sebagai Mike Chong itu pada kempen pertamanya.
Mengulas lanjut, Ka Siong turut berkongsi bahawa beliau turut meletakkan calon yang lebih muda di Melaka dan Johor.
"Ada pepatah, 'Tak kenal maka tak cinta'. 'Cinta pandang pertama' hanya boleh berlaku apabila kedua-dua pihak lebih berkenalan. Setelah ini berlaku, rasa sayang pasti akan bercambah.
"Saya rasa agak mustahil untuk jadikan calon-calon muda ini sebagai wira di mata rakyat dalam tempoh yang singkat semasa kempen pilihan raya ini, apa lagi untuk mereka memenangi pilihan raya di tempat mereka bertanding," ujar Ka Siong.
Namun menurut Ka Siong lagi, tempoh kempen adalah masa sesuai untuk calon-calon muda ini diperkenalkan kepada rakyat.
Ini kerana lama-kelamaan, ujarnya, keserasian akan terbina di antara calon-calon muda ini dan masyarakat setempat.
DUN Cheras bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru di antara Chong, Ketua Pemuda MCA Wangsa Maju yang akan mewakili Barisan, calon DAP, Tan Kok Wai yang akan mewakili Pakatan Harapan serta calon Bersatu, Chin Yoke Kheng yang mewakili Perikatan Nasional.
Sementara itu, menurut Chong, kira-kira 60,000 daripada kira-kira 100,000 pengundi di kawasan tersebut merupakan pengundi dalam lingkungan umur 18 hingga 21 tahun.
Selain menjadi bekas pengacara TV, Chong juga menjadi kegemaran ramai dalam ceramah perhimpunan pada pilihan raya lalu, kerana anak jati Kota Bharu itu bukan sahaja fasih berbahasa Malaysia, malah boleh berkomunikasi dalam dialek Kelantan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram