Skil belum berkarat, Sharmiza mahu bantu TFC mara ke separuh akhir Piala Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 09 Nov 2022

Suhaimi dilayangkan kad merah kerana mengasari Romel Morales pada perlawanan suku akhir pertama pada Isnin lepas. — Facebook TFC

PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Suhaimi Husin akui kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan berdepan Kuala Lumpur City (KL City) FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Sabtu ini.

Ia susulan layangan kad merah yang diterima ketika perlawanan suku akhir pertama di Stadium Cheras Kuala Lumpur yang sama sekali tidak diduga.

Bagaimanapun penjaga gol kelahiran Terengganu berusia 28 tahun itu yakin tanpa kehadirannya, skuad Penyu masih mampu bertahan dan mencipta kemenangan pada perlawanan penting yang bakal menentukan tempat ke separuh akhir piala paling berprestij di Malaysia itu.

"Rasa kecewa itu pasti ada kerana setiap pemain tentunya mahu beraksi setiap masa jika diberi peluang, apatah lagi pada perlawanan penting di hadapan penyokong sendiri.

"Tetapi saya percaya Abe (Rahadiazli Rahalim) dan Shamirza (Shamirza Yusoff) akan menggalas tugas tersebut dengan cemerlang kerana mereka sebenarnya lebih baik daripada saya," katanya pada Rabu.

Suhaimi dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana melakukan kekasaran terhadap pemain import KL City, Romel Morales pada perlawanan suku akhir pertama pada Isnin lepas.

Aksi Sharmiza ketika menyelamatkan gawang TFC daripada dibolosi KL City pada aksi suku akhir Piala Malaysia. — Facebook TFC

Meskipun beraksi dengan 10 pemain pada 35 minit terakhir permainan, TFC masih berjaya mengekalkan momentum kemenangan 1-0 terhadap skuad The City Boys.

Sementara itu, Shamirza yang beraksi cemerlang ketika masuk menggantikan Suhaimi pada perlawanan berdepan KL City Isnin lalu bertekad menggunakan segala pengalaman yang ada bagi membantu TFC mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Malah pemain berusia 33 tahun itu turut membuktikan bahawa aksinya belum 'berkarat' apabila berjaya menafikan beberapa percubaan tepat KL City pada penampilan pertamanya di Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Insya-ALLAH sekiranya diberi peluang saya akan cuba sehabis baik untuk mengekalkan momentum kemenangan pasukan.

"Bagaimanapun ia memerlukan kerjasama daripada rakan sepasukan untuk sama-sama berjuang," katanya yang setia bersama pasukan Terengganu sejak 2011. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram