SEPERTI mendapat nafas baharu, itulah gambaran yang boleh diberikan kepada Perak FC terutamanya selepas lantikan jurulatih baharu, Lim Teong Kim pada September lalu.
Selepas kemasukan jurulatih berusia 59 tahun itu, pelbagai perkara positif yang berlaku kepada skuad The Bos Gaurus terutamanya kehadiran pemain muda walaupun jendela perpindahan kedua belum dibuka.
Penerimaan mengenai kemasukan barisan ubi muda itu disambut baik oleh penyokong The Bos Gaurus, namun pada masa yang sama, mereka juga menuntut agar pihak pengurusan membawa masuk pemain senior.
Antara nama yang disebut-sebut akan kembali ke pangkuan The Bos Gaurus adalah bekas kapten Perak FC, Shahrul Saad.
Berposisi sebagai tanker, bintang berusia 29 tahun itu merupakan pemain yang sesuai untuk menjaga kubu pertahanan Perak FC pada musim depan.
Shahrul ketika beraksi bersama skuad Perak. — Stadium Astro
Bagaimanapun, terdapat penyokong yang kurang gemar dengan khabar angin mengenai kemasukan pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Badak’ itu.
Bagi mereka daripada memanggil semula Shahrul ke dalam pasukan Perak, adalah lebih baik untuk membentuk beberapa pemain muda lain menjadi tanker seterusnya.
Antara tiga nama pemain muda yang dipetik boleh menggantikan posisi pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu adalah Muhamad Farid Nezal, Ilham Aqil dan juga Kamal Arif Azrai.
Kamal Arif (kiri), Ilham (tengah) dan Farid Nezal (kanan) merupakan pemain pertahanan Perak FC.
“Farid Nezal, Kamal Arif harap adalah dalam senarai Lim Teong Kim...calon ganti Badak,” kata penyokong Perak FC, Mohamad Irwan Khalid.
“Aqil nombor 10 tidak silap. Badan ada, tukar posisi ke pertahanan. Mungkin menjadi di bawah Lim Teong Kim,” kata penyokong The Bos Gaurus, Fadhil Latib.
Ketiga-tiga tonggak muda itu merupakan pemain baharu pada musim ini dan dijangka akan memberi sumbangan besar buat Perak FC pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram