Tanpa khidmat import, moral pemain tetap tinggi berdepan Sarawak — Rezal Zambery


  • Podium
  • Isnin, 31 Okt 2022

TRW akan menentang SUFC dalam perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin ini. — Facebook/TRW

MELETAKKAN sasaran layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, Kelantan FC akui perlu melakukan persiapan sebaik mungkin untuk merealisasikan impian itu.

Persoalan sama ada The Red Warriors (TRW) akan ke suku akhir kejohanan berprestij itu bakal terjawab dalam perlawanan timbal balik menentang Sarawak United FC (SUFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin ini.

Meskipun perlawanan lalu menyaksikan Kelantan FC berjaya mengatasi skuad Ngap Sayot 1-0 namun ketua jurulatih TRW, Rezal Zambery Yahya enggan berasa selesa dengan kemenangan tempoh hari.

Pengendali berasal dari Johor itu menuntut agar anak-anak buahnya tidak terbuai dengan kemenangan lalu dan sebaliknya perlu berwaspada dengan kebangkitan skuad Ngap Sayot.

WhatsApp Image 2022-10-30 at 7.48.40 PM

Antara aksi Kelantan menentang Sarawak pada 26 Oktober lalu. — Facebook/TRW

“Saya tak nampak kemenangan hari itu satu kelebihan kerana pada saya kedua-dua pasukan ada 90 minit peluang untuk berikan terbaik.

“Pasti Sarawak akan gandakan usaha mereka. Pemain tak boleh leka dengan kelebihan dan perlu bermain lebih daripada selalu.

“Kami sentiasa berusaha untuk realisasikan impian. Apa yang penting berusaha. Kesungguhan dan sokongan dari penyokong juga penting untuk esok,” katanya kepada Majoriti.

Ditanya tentang persediaan menentang SUFC, pengendali berusia 44 tahun itu mengakui bahawa waktu rehat selama tiga hari tidak mencukupi untuk pasukannya melakukan persiapan.

Bukan itu sahaja, Rezal Zambery juga akur tidak dapat menurunkan beberapa tonggak import pada Isnin ini dan akan menggunakan khidmat pemain tempatan.

WhatsApp Image 2022-10-30 at 7.48.52 PM

Rezal Zambery akur tidak dapat menurunkan beberapa tonggak import. — Facebook/TRW

“Kami tak dapat banyak buat persediaan kerana balik pun ada tiga hari saja untuk latihan. Tapi apa yang penting moral pemain saya tinggi untuk bermain. Jadi saya mengharapkan supaya Kelantan dapat pungut mata untuk perlawanan esok.

“Ada beberapa import masih tak dapat diturunkan seperti Nixon (Nixon Guylherme), Belfort (Kervens Belfort). Felipe (Felipe Hereda Dos Santos), saya masih lihat tahap kecederaannya.

“Saya akan senaraikan pemain terbaik dengan kecergasan 100 peratus dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Dalam aksi 26 Oktober lalu, Kelantan FC meraih kemenangan apabila gol tunggal import Jepun, Kenta Hara memberi kelebihan buat skuad TRW. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram