Piala AFF: Jangan tengok kualiti padang saja, ambil kira 'flow' keluar masuk penyokong


  • Podium
  • Ahad, 23 Okt 2022

Kualiti padang SNBJ untuk penganjuran kejohanan antarabangsa dipertikai dalam keadaan cuaca tidak menentu. — Facebook

KEADAAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang teruk bukanlah satu perkara baharu malah sudah sekian lama diperkatakan hingga menjadi perdebatan banyak pihak.

Stadium itu bagaimanapun menjadi pilihan venue banyak kejohanan antarabangsa termasuk aksi final Piala AFC Cup 2022 antara KL City dan kelab Oman, Al Seeb pada Sabtu, kerana mampu menampung kapasiti lebih 80,000 penyokong.

SNBJ juga berkemungkinan bakal menjadi venue aksi skuad Harimau Malaya pada kempen Piala Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 hujung tahun ini, selain empat venue lain.

Antara venue yang menjadi pertimbangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu; Stadium Hang Jebat, Melaka; Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

1615329

SSI boleh dipertimbang sebagai 'rumah' pasukan Harimau Malaya bagi kejohanan AFF 2022. — Facebook

Melihat kepada perlawanan antara KL City dan Al Seeb, pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan ada baiknya jika saingan Piala AFF 2022 diadakan di stadium yang menawarkan fasiliti lebih baik.

"Walaupun SNBJ baru renovate sempena sukan SEA baru-baru ini, padangnya masih perlu ditambah baik.

"Pengalaman kita menganjurkan sukan-sukan dalam negara, kita tahu dari segi cuaca, pertengahan bulan 11 ke atas, negara akan dilanda hujan yang teruk.

"Secara peribadi, saya fikir dengan keadaan cuaca tidak menentu, ada baiknya dipertimbangkan semula padang lain yang nak dipilih," katanya kepada Majoriti.

20210610-whatsapp-image-2021-06-10-at-14-17-18

Zulakbal menyifatkan ada baiknya jika saingan Piala AFF 2022 diadakan di stadium yang menawarkan fasiliti lebih baik. — Google

Zulakbal berkata, pemilihan venue untuk kejohanan AFF 2022 perlu dibuat secara teliti dengan membabitkan pihak-pihak berkaitan termasuk pakar kaji cuaca dan pengurusan takungan air.

Beliau berpendapat, FAM boleh mempertimbangkan stadium termoden di selatan tanah air iaitu SSI sebagai 'rumah' pasukan Harimau Malaya bagi kejohanan tersebut.

"Stadium tu bagus, lagi-lagi untuk game antarabangsa macam ni. Harap FAM boleh bincang dgn pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Kalau di SNBJ pun bukan penuh macam aksi final... kena tengok sekali kelancaran masuk dan keluar penyokong. Macam semalam (Sabtu), saya dikhabarkan sampai dua jam nak keluar kerana hanya dua gate dibuka. Saya tak pergi (stadium) tapi ramai yang maklumkan kepada saya sedemikian.

"Jadi aspek sebegini pun haruslah diteliti sama, bukan tengok kualiti padang sahaja," tegasnya.

Saingan Piala AFF 2022 bakal membuka tirai pada 21 Disember ini dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Myanmar, Vietnam, Singapura dan Laos.

Skuad kendalian Kim Pan-gon akan beraksi di laman sendiri ketika bertemu Laos dan Singapura dan perlu bertandang di gelanggang lawan bagi aksi menentang Myanmar dan Vietnam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram