Sikap tamak Paulo Josue bikin ramai bengang, fans bagaikan lupa jasa kapten Warga Kota


  • Podium
  • Ahad, 23 Okt 2022

Ada penyokong yang menyalahkan sikap tamak Josue merupakan penyebab skuad Warga Kota tidak berpeluang menjulang piala. — Facebook/KL City

IMPIAN Kuala Lumpur (KL) City FC untuk menjulang trofi Piala AFC 2022 tidak kesampaian selepas tewas 0-3 ditangan wakil Oman, Al Seeb dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Gawang skuad Warga Kota berjaya ditembusi seawal minit ke-22 menerusi sepakan yang dilakukan Ali Sulaiman Al Busaidi dan jaringan kedua pula dihasilkan oleh Abdul Aziz sebelum berakhirnya babak pertama.

Perjalanan KL City berakhir selepas penyerang pasukan lawan, Muhsen Al-Ghassani menjaringkan gol pada minit ke-69.

Keputusan terbabit menyaksikan kemungkinan KL City terlepas peluang untuk mengikuti jejak langkah Johor Darul Takzim (JDT) beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Tidak dapat dinafikan ada penyokong yang menyalahkan permukaan padang basah yang dikatakan telah merencatkan pergerakan pemain KL City.

Selain keadaan padang, terdapat juga penyokong yang menyalahkan sikap tamak kapten KL City, Paulo Josue sebagai penyebab skuad Warga Kota tidak berpeluang menjulang piala.

“KL main apalah malam ini. Dengan Paolo Josue tamak, nak pegang bola sampai sejam. Benda boleh pass. Dia nak shoot kenapa,” komen penyokong KL City, Faiq.

“Kalaulah Paulo Josue tak pentingkan diri malam ini,” tulis penyokong, Amir.

“Paulo Josue malam ini mengecewakan. Awal-awal perlawanan tamak, patut dah boleh score. Lepas itu lambat passing. Kecewa-kecewa,” tulis, Dr Haalang.

paulo 2

Josue mula menyarung jersi KL City pada 2017. — Facebook/KL City

Komen yang diberikan oleh sesetengah penyokong mengenai Josue seperti melupakan segala pengorbanan pemain berusia 33 tahun itu sepanjang bersama KL City.

Mana tidaknya, Josue merupakan pemain yang setia bersama skuad Warga Kota sejak dia mula menyertai KL City pada 2017.

Pemain kelahiran Brazil itu juga yang menjadi penjaring terbanyak KL City dengan meledak lima gol sepanjang kempen Piala AFC dan sekali gus membantu skuad Warga Kota melayakkan diri ke pentas final.

Seperti yang dikatakan oleh pengacara sukan negara, Keesh Sundaresan, Josue tetap tidak berganjak dari KL City meskipun pelbagai kesusahan dialami skuad Warga Kota seperti masalah gaji.

“Tidak payah hina Paulo Josue. Pemain ini ada ketika KL dalam Liga Perdana. Dia membantu untuk kemenangan Piala Malaysia. Dia bantu banyak untuk Piala AFC.

“Satu perkara buruk menimpa KL tidak mengubah sumbangannya. Manakala KL baru mendapat 100-200 peminat setiap perlawanan. Paulo sudah pun berada di sana. Simpan penghinaan anda dan letakkan sedikit penghormatan padanya,” tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram