Menjelang final AFC, Kevin Mendoza kongsi rahsia jaga gawang KL City


  • Podium
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Bagi Kevin Mendoza, pentas final Piala AFC Sabtu ini merupakan antara perlawanan bersejarah buatnya sepanjang karier bergelar pemain bola sepak profesional. — Facebook/KL City

WAKIL tunggal Malaysia, Kuala Lumpur (KL) City FC mungkin akan melakar sejarah tersendiri sekiranya berjaya menewaskan kelab Oman, Al-Seeb dalam pentas final Piala Konfederasi Bola Sepak (AFC) 2022 pada Sabtu ini.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu akan menyaksikan segala kudrat pemain dikeluarkan secara habis-habisan untuk memberikan persembahan yang terbaik.

Semangat itu juga pasti ditunjukkan penjaga gawang, Kevin Ray Mendoza selepas berjaya muncul sebagai pemain terbaik di peringkat akhir Antara Zon menentang kelab Uzbekistan, FC Sogdiana.

Pemain kebangsaan Filipina itu muncul sebagai wira selepas berjaya menyelamatkan penalti pemain lawan sebelum tonggak pertahanan Giancarlo mengesahkan slot ke pentas akhir.

KL CITY

Kevin Mendoza meraikan kejayaan melangkah ke final Piala AFC bersama rakan sepasukan KL City. — Facebook/KL City

“Ia memang persembahan yang sangat bagus untuk saya dan ini juga salah satu pengalaman berharga buat saya.

“Selepas perlawanan itu, saya rasa macam tak tahu apa yang jadi, terkesima. Saya hanya gembira dengan semua ini,” katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, persembahan Kevin Mendoza ketika perlawanan akhir Piala Malaysia awal tahun lalu mencuri perhatian ramai berikutan kemampuan serta rupa parasnya kacak.

Perkara itu mencuri tumpuan lagi ketika perlawanan menentang FC Sogdiana.

"Saya tak tahu mengenai perkara itu. Saya rasa ia satu pujian yang bagus tapi saya gembira mereka suka saya. Saya bersyukur dengan pujian-pujian itu," komennya.

Bagi pemain berusia 28 tahun itu, pentas final Piala AFC ini merupakan antara perlawanan bersejarah buatnya sepanjang karier bergelar pemain bola sepak profesional.

KEVIN LAGI

Penjaga gol ini merekodkan satu clean sheets sepanjang kempen AFC. — Facebook/KL City

Kevin Mendoza turut berkongsi bahawa berada dalam pasukan yang disifatkan sebagai ‘underdog’ sebenarnya membantu dengan tidak memberikan tekanan kepada pemain.

Hal ini kerana, sejak kempen Piala AFC, ramai pihak tidak menjangka KL City berjaya melangkah ke pusingan akhir.

Sementara itu, Kevin Mendoza turut mendedahkan rahsianya untuk kekal bersemangat sepanjang 90 minit permainan.

Jika para atlet lain ada yang menggunakan muzik dan menelefon ahli keluarga sebagai alat kurangkan tekanan, pemain itu pula akan menonton sedutan perlawanannya sebelum ini.

kevin

Kevin percaya dengan menonton aksinya sebelum ini mampu menaikkan keyakinannya sebelum sepak mula. — Facebook/KL City

“Sebelum perlawanan, saya akan tengok telefon untuk mengkaji video highlight saya.

“Semua itu saya buat untuk dapatkan rasa teruja dan keyakinan. Itu salah satu yang saya buatlah sebelum perlawanan bermula,” kongsinya.

Penjaga gol itu menyeru penyokong setia KL turun beramai-ramai memberi sokongan pada final Piala AFC nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram