Masih fobia aksi bersama Jang Hobin, legenda Kedah harap sejarah 2004 berulang


  • Podium
  • Isnin, 17 Okt 2022

Antara aksi perlawanan sewaktu KDA FC menentang NSFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. — Facebook/KDA FC

PERJALANAN Darul Aman (KDA) FC bagi saingan Liga Super musim ini tidak berakhir begitu indah apabila hanya mampu menduduki tangga kelapan dengan pungutan 27 mata.

Jika dibandingkan pada musim lalu, skuad di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak itu berjaya dinobatkan sebagai naib johan dan turut berjaya melangkah ke pentas Piala Konfederasi Asia (AFC).

Skuad Sang Kenari yang tumpas di tangan Terengganu FC (TFC) 1-3 pada Sabtu sememangnya mengecewakan seluruh penyokong Kedah.

Bagaimanapun, Kedah berpeluang meraihkan kepercayaan penyokong semula sekiranya memberi persembahan terbaik dalam kempen Piala Malaysia yang bakal berlangsung pada 25 Oktober ini.

Malah, jika Sang Kenari dinobatkan menjadi juara pada kejohanan berprestij itu, KDA FC secara automatik akan mendapat slot ke pentas Piala AFC 2023.

KDA FC

KDA FC mengakhiri saingan Liga Super 2022 dengan menduduki tangga kelapan. — Facebook/KDA FC

Sebelum menanam impian untuk menebus kekecewaan penyokong dan mendapat tiket ke Piala AFC, skuad Sang Kenari bakal menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada pusingan pertama Piala Malaysia.

Seperti penyokong Hijau Kuning lain, bekas jurulatih legenda skuad Sang Kenari, Azraai Khor, turut menyimpan hasrat melihat Kedah cemerlang pada kejohanan tersebut.

Namun, pengendali berusia 69 tahun itu tidak dapat menafikan Kedah akan lalui jalan sukar kerana perlu menghadapi NSFC yang baru sahaja menewaskan Sang Kenari 3-4 dalam aksi Liga Super 09 Oktober lalu.

“Nak jumpa Negeri Sembilan sahaja dah fobia. Sebab baru kalah kan. Harapan saya sebagai penyokong hanya berharap ada sinar di hujung terowong.

“Semua itu ada keberangkalian untuk Kedah kembali menyinar pada Piala Malaysia,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya kisah dongeng seperti itu boleh berlaku kerana pada tahun 2004, Kedah turut lalui situasi yang sama seperti musim ini.

AZRAAI 2004

Azraai Khor (dua dari kiri) antara individu yang menaikkan semula Kedah ketika zaman kejatuhan pasukan itu pada 2004. — Agensi

“Masa 2004 Kedah kecundang ke tempat tercorot. Untuk Piala Malaysia saya mula mengambil alih. Terus kami ke final.

“Saya berharap sejarah dapat diulangi pada tahun ini,” jelasnya.

Pada saingan Liga Super musim 2004, Kedah FA hanya menduduki tangga tercorot liga namun kekecewaan itu dapat ditebus dengan menjadi naib juara pada kejohanan Piala Malaysia.

Sebelum dinobat sebagai naib johan kejohanan tersebut pada musim 2004, Kedah lalui jalan sukar di bawah kendalian Mirandinha dan jurulatih itu digantikan dengan Azraai Khor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram