SEMUA penganjuran acara melibatkan aktiviti sukan permotoran dan kereta di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak diarah dihentikan buat sementara waktu berkuat kuasa pada Sabtu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tindakan itu susulan kemalangan yang meragut nyawa seorang pelumba kereta drag Muhamad Hafez Jamal Jamaluddin ketika menyertai perlumbaan Battle Of The Kings (BOTK) 2022.
Menurut Wan Sukairi, pihaknya telah mengarahkan supaya semua aktiviti di litar terbabit dihentikan serta-merta semalam dan akan dibuka semula selepas semua hasil laporan dan aspek keselamatan di litar ditambah baik.
"Kita jangka akan terima laporan berkaitan insiden terbabit daripada penganjur hari ini. Perjumpaan juga akan dibuat untuk mendengar sendiri tentang apa yang berlaku.
"Sebaik terima (laporan), kita akan kaji dan lihat aspek keselamatan yang perlu diperbaiki serta ditambah baik dari segi kemudahan dan penganjur sendiri," katanya selepas majlis penyampaian hadiah Sultan Mizan Cup di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Terengganu pada Ahad.
Pada majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada enam pemenang dalam pelbagai kategori dan turut berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut Wan Sukairi lagi, kerajaan negeri amat kesal dengan kejadian itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang pastinya terkesan dengan insiden terbabit.
"Dari segi permit kebenaran dan sebagainya tidak ada masalah, penganjur memang dah dapat kebenaran daripada pesuruhjaya sukan negeri," katanya.
Dalam kejadian semalam, pelumba drag dikenali Apeh Jamal, 40, maut sewaktu menyertai perlumbaan drag BOTK 2022 pada 11.35 pagi akibat kecederaan parah selepas kereta jenis Mitsubishi Lancer Evo yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas melepasi trek perlumbaan sebelum merempuh sebatang pokok.
Dalam perkembangan lain, Wan Sukairi turut mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak negeri, Terengganu FC (TFC) yang layak ke pentas Piala Konfederasi Asia (AFC) tahun depan selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi.
Katanya, kejayaan itu pastinya membanggakan rakyat Terengganu dan diharap menjadi permulaan baik buat sukan bola sepak negeri musim depan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram