Enggan janji bulan bintang, pemilik Kedah mahu 4 elemen dalam Sang Kenari


  • Podium
  • Isnin, 17 Okt 2022

Rombakan dalam KDA FC akan dilakukan untuk membentuk pasukan baharu bagi memberi saingan sengit dalam liga. — Facebook/KDA FC

PEMILIK Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berjanji akan membawa pembaharuan dalam skuad Sang Kenari pada masa hadapan.

Daud Bakar dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pihak KDA FC menyedari bahawa saingan Liga Super musim ini tidak berakhir dengan cukup indah.

Disebabkan itu, beliau turut menyedari bahawa banyak rombakan perlu dilakukan untuk membentuk pasukan baharu bagi memberi saingan sengit dalam liga.

“Pasukan Sang Kenari telah menamatkan Liga Super 2022 dalam keadaan yang amat tidak memberangsangkan. Saya percaya Sang Kenari telah mencuba sedaya upaya.

“Saya juga ingin percaya bahawa pasukan-pasukan lain telah meningkatkan prestasi mereka secara komprehensif dan konsisten mulai tahun 2021.

DAUD

Pada awal September lalu, Daud Bakar diumum sebagai pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn. Bhd. — Facebook/KDA FC

“Sang Kenari pula tidak banyak menambahkan kapasiti. Minda tenang sebagai naib juara Liga Super untuk dua tahun berturut-turut juga mungkin penyebab kepada aras minda dan kesungguhan serta kecergasan pasukan Sang Kenari yang semakin menurun.

“Melihat melalui sudut pandang badan pengurusan, banyak tindakan perlu dilakukan untuk membentuk pasukan baru di masa hadapan dan juga dalam baki perlawanan di TM Piala Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, Daud Bakar turut menyatakan meskipun pihak pengurusan akan melakukan pembaharuan namun jasa mereka tetap dikenang sampai bila-bila.

Tambahnya, pihak pengurusan KDA FC bersyukur dengan sokongan yang tidak henti-henti dari penyokong setia Sang Kenari.

“Kepada individu yang telah berjasa di bawah naungan Sang Kenari, jasa anda sentiasa menjadi kenangan dan kekal dalam lipatan sejarah bola sepak Kedah.

“Tindakan yang sukar ini tidak menafikan rasa hormat dan penghargaan kami semua yang tinggi. Sekali bersama pasukan Sang Kenari, selamanya Sang Kenari!

“Saya juga akan melihat kelemahan yang ada dalam aspek pengurusan pasukan Sang Kenari. Kepada penyokong setia KDA FC dalam semua keadaan dan prestasi, kami terharu dan teruja dengan sokongan dan doa anda.

“Kami tidak boleh menjanjikan bulan dan bintang di masa hadapan. Kami hanya boleh janjikan satu pasukan Sang Kenari yang lebih berwibawa, serasi, tangkas dan bijak,” katanya merujuk kepada empat elemen yang akan diterapkan dalam skuad Hijau Kuning itu.

AIDIL

Aidil Sharin tidak akan diteruskan kontraknya bersama pasukan tersebut. — Facebook/KDA FC

Sementara itu, dalam satu kenyataan berlainan, KDA FC mengumumkan bahawa ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak tidak akan diteruskan kontraknya bersama pasukan tersebut.

Perkara itu diumumkan pihak pengurusan Sang Kenari menerusi laman media sosial mereka dengan meluahkan penghargaan buat pengendali kelahiran Singapura itu.

Kekosongan itu bakal diisi penolong ketua jurulatih, Victor Andrag yang bakal memegang jawatan sebagai pengendali sementara bagi mengharungi kempen Piala Malaysia yang bermula hujung bulan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram