'Malaysia sentiasa ada untuk Indonesia', FAM turut berduka tragedi berdarah derbi Jawa Timur


  • Podium
  • Ahad, 09 Okt 2022

Hamidin (dua kanan) mengadakan pertemuan dengan wakil PSSI pada Sabtu bagi menzahirkan rasa dukacita susulan tragedi Stadium Kanjuruhan baru-baru ini.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan pertemuan dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi menzahirkan rasa dukacita buat keluarga bola sepak negara itu susulan tragedi berdarah baru-baru ini.

FAM memaklumkan pertemuan itu yang disifatkan sebagai ‘keluarga serumpun’, berlangsung pada Sabtu dengan PSSI diwakili Ketua Umum, Mochamad Iriawan dan Wakil Sekretaris Jenderal (Setiausaha Agung), Maaike Ira Puspita.

"Dunia bola sepak sememangnya turut berduka dan kami, Malaysia sentiasa ada untuk Indonesia,” kata Hamidin dalam hantaran Facebook rasmi FAM pada Ahad.

Pada 1 Oktober lepas, pertembungan ‘derbi Jawa Timur’ antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur bertukar menjadi tragedi berdarah apabila 125 orang termasuk kanak-kanak terkorban dalam insiden rusuhan penyokong selepas perlawanan.

Kekalahan 2-3 Arema yang juga kekalahan pertama mereka di tempat sendiri kepada Persebaya Surabaya dalam tempoh 23 tahun mencetuskan kemarahan penyokongnya yang bertindak memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan sebaik tamat perlawanan.

Situasi tegang memaksa pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan menyebabkan ribuan penyokong berasak-asak untuk keluar stadium melalui beberapa pintu sehingga berlaku rempuhan.

311380469_799119677827937_6872401321695480888_n

Hamidin turut berkesempatan melawat Nugraha Besoes (kiri) di kediamannya. — Facebook FAM

Hamidin tiba di Indonesia Jumaat lepas bagi menyaksikan baki perlawanan skuad Bawah 16 Tahun (B-16) dalam saingan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat dan pasukan tuan rumah di Stadium Pakansari di Cibinong, Bogor pada Ahad malam.

Dalam pada itu, Hamidin turut berkesempatan melawat bekas Setiausaha Agung PSSI, Nugraha Besoes yang dianggap sebagai sahabat baik dan ‘abang’ dalam dunia bola sepak, di kediamannya.

"Beliau dianggap setiausaha agung abadi di Indonesia kerana setakat ini tiada siapa lagi mampu mengatasi rekod 28 tahun memegang jawatan itu di Indonesia. Keadaannya kini kurang sihat tetapi minatnya masih sama, bola sepak,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram