Ingatan Hamidin buat Hodak


  • Podium
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Hamidin mempertahankan tindakan Pan-gon menyenaraikan pemain dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) membidas dakwaan pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak bahawa penyertaan dua pemain skuad Warga Kota bersama pasukan kebangsaan ke Chiang Mai cuma sekadar 'bercuti'.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan Hodak agar tidak memberi sebarang respons lain berhubung skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata, Hodak sudah dua kali memberi komen berkaitan isu itu dan dia sepatutnya memahami perkara tersebut kerana sebelum ini pernah diberi peranan untuk mengendali skuad kebangsaan.

"Bojan Hodak pernah jadi jurulatih B-19 (Bawah 19 tahun) dan dia patut faham.

"Ingatan saya kepada Bojan Hodak cukup bagi komen setakat ini,” tegas Hamidin.

Hodak sebelum ini menyifatkan penyertaan dua pemain KL City bersama Harimau Malaya ke Chiang Mai dalam saingan Piala Raja Thailand baru-baru ini cuma sekadar 'bercuti'.

Dia kecewa dengan tindakan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon yang tidak menghormati tugasnya sebagai jurulatih yang memberi pelepasan kepada Declan Lambert dan Zhafri Yahya tetapi mereka tidak beraksi.

“Ini adalah disebabkan seorang individu, ini adalah antara jurulatih. Dia tidak menghormati saya. Sudah tentu saya kecewa.

"Kami minta pelepasan untuk mereka kerana kami sedang buat persediaan untuk perlawanan paling penting kelab ini, tetapi dia bawa dua pemain kami untuk bercuti," ujar Hodak. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram