Selepas DNA Korea, FAM tagih sentuhan Qatar


  • Podium
  • Khamis, 06 Okt 2022

Hamidin (kiri) menerima undangan melakukan kunjungan hormat ke atas Sheikh Hamad bin Khalifa di Doha pada Rabu. — Facebook/FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan mengadakan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Qatar.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perkara itu dibincangkan semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al Thani di pejabatnya di Al-Bidda Tower, Doha, pada Rabu.

Turut hadir Naib Presiden QFA, Saud Abdulaziz al-Mohannadi dan Setiausaha Agung QFA, Mansour al-Ansari.

Hamidin berkata, dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak berkongsi pandangan isu kepentingan bersama demi manfaat positif bola sepak Malaysia dan Qatar.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden QFA yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Qatar," kata Hamidin dalam satu hantaran di laman Facebook FAM pada Khamis.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama dua hala itu akan memanfaatkan kedua-dua negara.

"Saya yakin ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka panjang,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

FAM, QFA, Hamidin Mohd Amin, Malaysia, Qatar, Korea,