'Awak boleh aturkan,' Legenda Kedah idam lihat anak sarung jersi Hijau Kuning


  • Podium
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Marcos Magno (kiri) penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 12 jaringan sekitar musim 2005/2006. — Facebook/Amirul Nizam

SIAPA yang mengikuti perjalanan pasukan bola sepak Kedah sejak dahulu pasti mengenali nama Marcos Magno Morales Tavares iaitu seorang pemain legenda skuad Hijau Kuning sekitar tahun 2004 dan pada musim 2005/2006.

Marcos Magno menjadi penyerang berbisa Kedah FA selepas menjaringkan 11 gol pada musim 2004 dan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 12 jaringan sekitar musim 2005/2006.

Selepas menyinar bersama Sang Kenari, pemain kelahiran Brazil itu memutuskan untuk kembali ke tanah airnya dengan menyertai kelab seperti Porto Alegre, dan Gremio.

Screenshot 2022-10-07 at 4.53.20 PM

Pemain berusia 38 tahun itu menghabiskan karier bola sepak bersama NK Maribor. — Agensi

Marcos Magno menjadi legenda bersama kelab Slovenia, NK Maribor dengan dia beraksi selama 15 musim bersama kelab itu dari 2008 sehingga 2022.

Bersama kelab itu, bekas pemain Brazil itu membuat penampilan sebanyak 456 kali dengan 159 jaringan.

Mengikut jejak langkah ayahnya, putera Marcos Magno iaitu Marcos Tavares Jr merupakan pemain bola bagi kelab NK Maribor U19.

Lebih menarik, legenda Kedah itu turut menyatakan hasrat agar anak lelakinya diberi peluang beraksi bersama pasukan Hijau Kuning pada masa akan datang.

MARCOS JR

Marcos Tavares Jr merupakan pemain bola bagi kelab NK Maribor U19. — Facebook/Amirul Nizam

Menerusi hantaran dari bekas pemain Kedah FA, Amirul Nizam Mahadzir menunjukkan tangkap layar perbualan bersama Marcos Magno mengenai hasratnya itu.

“Harap dia boleh bermain bersama Kedah suatu hari nanti,” kata Amirul Nizam.

“Saya pun. Awak boleh uruskan perkara ini,” balas Marcos Magno dalam perbualan itu.

ss chat

Tangkap layar perbualan Amirul Nizam bersama Marcos Magno mengenai hasratnya itu. — Facebook/Amirul Nizam

Perbualan dua bekas legenda Kedah itu membuatkan ramai penyokong Sang Kenari berharap agar Marcos Tavares menyarung jersi Hijau Kuning suatu hari nanti.

Jika harapan penyokong Sang Kenari jadi kenyataan, Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal menyaksikan Marcos Tavares bermain di bumi Darul Aman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram