Fokus tidak terganggu, Kim Swee waspada 'cakar' Harimau Kumbang


  • Podium
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Sabah FC kini menduduki tangga kedua dalam saingan Liga Super dengan 35 mata. — Facebook/Sabah FC

‘TIADA perlawanan mudah’, demikian ulasan yang diberikan oleh pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengenai perlawanan Liga Super menentang Penang FC pada Jumaat di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu memberi pesanan kepada anak-anak buahnya untuk kekal memberikan persembahan terbaik dalam tiga lagi baki perlawanan liga termasuklah aksi menentang skuad Harimau Kumbang.

Baginya, segala kejohanan lain seperti misi kelayakan ke kejohanan Piala AFC dan Piala Malaysia perlu diketepikan terlebih dahulu bagi memastikan Sabah FC tidak mengalami sebarang keciciran mata.

“Seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini, tiada satu perlawanan yang mudah. Lebih-lebih lagi menghadapi hujung-hujung liga ini. Kita perlu berada dalam kelompok yang terbaik.

sabah

Sesi latihan Sabah FC bagi perlawanan menentang Penang FC. — Facebook/Sabah FC

“Kita perlu fikir satu-satu perlawanan dan esok main dengan landasan yang betul. Pasukan Penang tak main dalam tekanan mungkin mereka akan bermain dengan baik.

“Setiap perlawanan yang dilalui jangan diambil mudah, kita akan dihukum dengan kelalaian,” katanya kepada Majoriti.

Meskipun bermain tanpa penyerang import, Jose Embalo akibat faktor kecederaan, jurulatih berusia 51 tahun itu yakin pasukannya mampu menjaringkan gol jika bermain satu pasukan.

Mengulas mengenai undian peringkat kumpulan Piala Malaysia, Kim Swee bersetuju dengan keputusan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengumumkan jadual kejohanan itu lebih awal meskipun liga belum berakhir.

OKS

Kim Swee yakin pasukannya mampu menjaringkan gol jika bermain satu pasukan. — Facebook/Sabah FC

“Penting untuk buat persiapan. Jika kita tahu jadual lebih awal, kita boleh buat persiapan. Namun kita akan tahu kedudukan masing-masing lepas perlawanan akhir liga.

“Itu mungkin memerlukan masa. Ini untuk memastikan jadual perjalanan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dengan perlawanan timbal balik.

“Ia tidak ganggu fokus. Piala Malaysia kita tahu kita berada dalam kelompok terbaik. Penting habiskan liga dahulu,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram