'Kuda' tua dipetik punca prestasi makin ke laut, Sabah FC ditegur jangan ambil pemain mahal tapi tak berhasil


  • Podium
  • Isnin, 03 Okt 2022

Sabah FC dimalukan 0-2 di depan penyokong TFC pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. — Facebook/Sabah FC

TAMPIL cemerlang pada awal musim tidak menjanjikan kemanisan buat Sabah FC apabila mempamerkan aksi kurang mantap selepas jendela perpindahan kedua bermula.

Sabah FC mengalami kekalahan berturut-turut pada aksi Liga Super yang mana pada 10 September menyaksikan The Rhinos dimalukan pada 3-2 di tangan Selangor FC.

Pada Sabtu lalu pula menyaksikan The Rhinos tunduk 0-2 di depan penyokong Terengganu FC (TFC) dan sekali gus membuatkan Sabah terlepas peluang untuk memperoleh tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan pada saingan Liga Super.

Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu itu, gawang Sabah FC mudah dibocori oleh pemain import TFC, Pape Diakite pada minit keenam dan satu lagi gol disumbangkan oleh Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim pada minit ke-30.

Persembahan hambar itu membuatkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mendapat kecaman dalam kalangan penyokong dan ada juga yang mempersoalkan prestasi pemain senior skuad The Rhinos.

rizall

Rizal dilayangkan dilayangkan kad merah dalam pertemuan menentang TFC. — Facebook/Sabah FC

“Tahun depan rasanya kuda tua, tak perlu lagilah. Import pun kena ambil yang betul-betul ada bukti kualiti. Kalau macam sekarang pergi AFC. Jadi pasukan kebelasahan sajalah. Pasukan jangka pendek guna kuda tua,” tulis penyokong Sabah FC, Harith Adam.

“Buang duit saja Sabah FC ini ambil pemain-pemain mahal tapi tiada hasil,” komen penyokong, Ryan Borneo.

“Pemain macam kurang stamina dan mereka lari pun macam tidak larat dan harap perlawanan seterusnya akan berikan terbaik,” tulis, penyokong Hariruk Ruk.

Antara pemain senior yang membarisi Sabah FC pada musim lepas ialah Badrol Bakhtiar, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, Irfan Fazail dan bekas bek kanan Kedah FC Rizal Ghazali.

Sesetengah penyokong Sabah FC beranggapan pemain senior berkenaan sudah tidak relavan buat Sabah FC dan seharusnya digantikan dengan barisan pemain muda.

Bagi mereka, jika The Rhinos layak ke kejohanan AFC pada musim depan, pembelian pemain muda turut diperlukan bagi membuat pertukaran pemain.

akhyarrr

Akhyar dan Safawi dikhabarkan akan ke Sabah. — Facebook/Sabah FC

Sebelum ini kecoh senarai bocor pemain Sabah yang akan menyertai skuad The Rhinos musim depan dan antara yang menjadi perhatian ialah dua pemain JDT ketika ini iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid. Tidak ketinggalan nama penyerang Harimau Selatan iaitu Syafiq Ahmad.

Selain tiga nama itu, beberapa pemain kebangsaan turut tercatat dalam 'senarai bocor' berkenaan yang memasukkan Darren Lok, Faisal Halim, Brendan Gan, Azam Azih dan Mukhairi Ajmal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram