Bersyukur rezeki dan peluang Piala Malaysia, Zainal Abidin ada misi lebih penting


  • Podium
  • Isnin, 03 Okt 2022

Antara aksi perlawanan sewaktu Penang FC menentang KL City FC di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang. — Facebook/MFL. — Facebook/Penang FC

PENGENDALI Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan mengumumkan kesemua pasukan Liga Super akan mengisi slot TM Piala Malaysia 2022 selepas satu slot daripadanya ditinggalkan oleh Melaka United FC (MUFC) berikutan masalah tunggakan gaji.

Dengan pembatalan penyertaan skuad Hang Tuah, Penang FC yang kini menduduki tangga tercorot liga, berpeluang untuk menggunakan Piala Malaysia bagi meraih semula kepercayaan penyokong kepada pasukan itu.

Rekod skuad Harimau Kumbang pada saingan Liga Super jelas mengecewakan penyokongnya yang mana Penang FC hanya melakar dua kemenangan sepanjang 19 perlawanan diadakan.

Berkemungkinan dengan peluang yang diberikan melalui slot Piala Malaysia, Penang FC mampu memberikan persembahan terbaik seperti yang ditunjukkan sewaktu kempen Piala FA sebelum ini.

Skuad Harimau Kumbang berjaya mara ke peringkat separuh akhir pada kejohanan itu dan menyaksikan perjalanan mereka berakhir di tangan Johor Darul Takzim (JDT).

Mengulas mengenai slot Piala Malaysia itu, pengendali Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan tidak menafikan ia merupakan satu rezeki dan peluang untuk Harimau Kumbang.

zah

Zainal Abidin tidak menafikan slot ke Piala Malaysia merupakan satu rezeki dan peluang untuk Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Bagaimanapun, jurulatih berusia 60 tahun itu menjelaskan bahawa beliau ingin memberi tumpuan kepada saki baki liga dahulu sebelum menyiapkan pasukan ke Piala Malaysia.

“Sebelum saya ambil, Penang memang dah kalah banyak. Jadi saya cuba sedaya upaya untuk baiki game. Piala Malaysia ialah peluang dan rezeki penang. Kami kena ambil peluang dan rezeki ini dengan lebih baik.

“Ini amat penting kerana kejohanan ini boleh dikatakan antara yang dinantikan oleh para pemain. Jadi Piala Malaysia ini amat penting tapi kita ada tiga lagi perlawanan untuk saingan liga bagi perbaiki keadaan pasukan,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, dengan kemenangan Penang FC menumpaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 1-0 membuatkan moral pemain semakin meningkat dan mampu untuk memberi saingan baik kepada lawan dalam perlawanan seterusnya.

Berbicara mengenai kempen Piala Malaysia lagi, Zainal Abidin berharap momentum pasukannya akan terus konsisten agar dapat bersaing sehingga peringkat akhir kejohanan itu.

lucas silva

Jaringan dari penyerang import, Lucas Silva pada minit ke-79 memberi Penang FC tiga mata berharga.Facebook/Penang FC

“Saya ucap tahniah kepada pemain-pemain kerana sudah menang 1-0 lawan KL. Itu akan naikkan semangat. Saya rasa selagi tiada penggantungan, kecederaan, masalah-masalah begini saya rasa pemain dapat kekalkan prestasi mereka.

“Tiap-tiap jurulatih nak bawa kumpulan mereka ke peringkat akhir. Macam itu niat saya. Tapi sedar untuk ke peringkat akhir Piala Malaysia, ia memerlukan dua kali ganda usaha,” jelasnya.

Piala Malaysia bakal menyaksikan aksi dari 16 pasukan yang mana 11 wakil daripada Liga Super dan baki lima wakil diisi dari Liga Perdana.

Pada saingan Piala Malaysia musim 2021 menyaksikan KL City menamatkan penantian 32 tahun dengan menjuarai kejohanan edisi ke-100 itu.

Pasukan kendalian Bojan Hodak itu menundukkan JDT 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram