LUMRAH bagi pasukan ternama seperti Liverpool memiliki pemain yang secara automatiknya akan terpilih untuk mewakili negara di Piala Dunia Qatar sekali gus menyebabkan The Reds bakal kehilangan pemain buat sementara waktu.
Namun, kecederaan yang dialami pemain-pemain seperti Alisson Becker, Virgil van Dijk, Trent Alexander-Arnold, Fabinho, Diogo Jota dan Darwin Núñez dijangka menghalang mereka daripada mewakili negara masing-masing pada kejohanan itu.
Bagi sesetengah pemain pula, peluang untuk mewakili negara masih lagi samar kerana prestasi mereka perlu dinilai dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat jurulatih kebangsaan.
Salah seorang pemain tersebut adalah Roberto Firmino yang perlu menyinar dalam perlawanan persahabatan Brazil akan datang sekiranya mahu meyakinkan Ketua Jurulatih Brazil, Tite selepas gagal tersenarai sebagai tiga pilihan terakhir.
Seorang lagi pemain, Thiago turut menerima nasib sama apabila tidak bermain untuk Sepanyol sejak Kejohanan Eropah ekoran kecederaan dan dijangka tidak akan pulih dalam masa terdekat.
Selain itu, Harvey Elliot pula terlepas kelayakan untuk bermain dengan skuad senior England apabila Ketua Jurulatih England, Gareth Southgate lebih memilih pemain-pemain lain seperti Jude Bellingham, Mason Mount, Kalvin Phillips, Declan Rice dan James Ward-Prowse.
Dalam perkembangan sama, Fabio Carvalho juga dilaporkan tidak akan menyertai skuad senior ekoran kecederaan yang dialaminya ketika menentang Everton awal bulan lalu.
Difahamkan situasi tersebut memberikan kelebihan buat Liverpool kerana pemain-pemain akan dapat direhatkan dan dipantau dengan lebih dekat oleh Pengurus The Reds, Jurgen Klopp.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram