SELEPAS dihujani pelbagai persoalan daripada penyokong, Selangor FC akhirnya mengumumkan ketua jurulatih baharu mereka iaitu Tan Cheng Hoe yang bakal mengendali pasukan itu musim depan.
Cheng Hoe bakal memegang jawatan itu yang kini diisi pengendali sementara, Nidzam Jamil dengan dia bakal dilantik sebagai pembantu jurulatih.
Pengendali berusia 54 tahun itu mempunyai pengalaman memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya dari 2018 hingga 2021 dengan mempunyai pencapaian muncul sebagai Naib Juara Piala AFF 2018.
Di peringkat kelab pula, Cheng Hoe pernah bergelar ketua jurulatih Kedah FA dengan mencapai kejayaan apabila menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.
Ketika berada di pasukan itu juga, dia juga merupakan penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016 berikutan persembahan yang konsisten bersama skuad Lang Merah.
"Bagi saya, Selangor FC merupakan satu kelab yang berpotensi besar dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain yang berkualiti.
"Saya berbesar hati untuk menabur bakti kepada pasukan ini dan kalau diberikan peluang, saya yakin ramai jurulatih mahu mengendali pasukan seperti Selangor FC. Ini motivasi terbaik untuk saya melaksanakan tugas sebagai jurulatih baharu pasukan,” katanya, seperti dilaporkan laman sesawang rasmi Selangor FC.
Tambahnya, pengumuman awal yang dilakukan pihak pengurusan juga membolehkannya untuk melakukan perancangan awal dalam mengenal pasti kelebihan dan kekurangan skuad yang dimiliki.
“Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk bersama dengan pasukan lebih awal bagi membantu saya membuat perancangan lebih rapi untuk musim hadapan.
"Saya yakin boleh membawa pasukan ke satu tahap lebih baik dengan kerjasama daripada semua pihak terutamanya pemain, pihak pengurusan serta barisan jurulatih. Sama-sama berusaha keras untuk memastikan Selangor FC berada di landasan yang terbaik,” katanya.
Dalam masa sama, pihak pengurusan Gergasi Merah turut mengumumkan pelantikan penasihat teknikal pasukan senior, K Sanbagamaran yang juga merupakan bekas pemain kelab tersebut.
Pengumuman mengenai pengarah sukan dan pengarah teknikal Selangor FC juga akan dimaklumkan dalam masa terdekat sekali gus memastikan pasukan itu bersedia untuk musim akan datang.
Di samping itu, Cheng Hoe juga berkata, masa yang diberikan itu bakal dimanfaatkan dengan melihat cara dan corak permainan masing-masing selain untuk memahami karakter yang berbeza.
“Dalam jangka masa yang terdekat ini, saya berharap pemain dapat faham dengan corak permainan yang akan saya terapkan.
"Di samping itu, saya juga perlu memahami setiap pemain dalam pasukan kerana setiap individu adalah berlainan, mereka mempunyai karakter dan cara bermain tersendiri, penting untuk saya tahu semua itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram