KEKECOHAN perlawanan separuh akhir Sukan Malaysia (Sukma 2022) melibatkan pasukan Wilayah Persekutuan dan pasukan Pulau Pinang di Stadium Mini Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada Rabu, tercetus selepas seorang pemain dilayangkan kad merah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tindakan itu mengakibatkan salah seorang individu dipercayai pegawai salah satu pasukan terlibat tidak berpuas hati sebelum terjadinya kekecohan.
"Siasatan awal mendapati insiden pergaduhan itu berlaku selepas salah seorang pemain dilayangkan kad merah.
"Tindakan itu mengakibatkan salah seorang individu dipercayai pegawai salah satu pasukan terlibat tidak berpuas hati sebelum terjadinya kekecohan.
"Permainan kemudian dihentikan seketika, bagaimanapun kekecohan berjaya dikawal sebelum permainan disambung semula," katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku 'Korupsi, Kemunafikan Dalam Politik Melayu' di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Katanya, siasatan lanjut berkaitan kejadian sedang dijalankan dan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
"Beberapa individu dipanggil untuk dirakam keterangan melibatkan barisan kejurulatihan, pengadil dan petugas perlawanan.
"Pihak yang terlibat dalam mana-mana pertandingan dinasihatkan supaya tidak beremosi ketika sesuatu perlawanan supaya tidak tercetus provokasi dan kekecohan yang seterusnya mengganggu perlawanan yang berlangsung," katanya.
Pada Rabu, kekecohan tercetus apabila seorang pemain Wilayah Persekutuan, Muhammad Iman Fakhrullah dilayangkan kad merah pada minit ke-88 kerana mengasari pemain Pulau Pinang.
Susulan insiden kad merah itu, seorang pegawai pasukan Wilayah Persekutuan masuk ke padang dan mengejar pengadil, Muhamad Shamil Mohd Jaafar seolah-olah mahu menumbuk kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.
Pengadil dilihat terpaksa berlari menyelamatkan diri daripada tengah padang ke tempat duduk simpanan pasukan Pulau Pinang
Selepas kejadian itu, pengadil itu melayangkan satu lagi kad merah terhadap staf tersebut sebelum dia dibawa keluar padang oleh polis sambil tangan digari.
Perlawanan itu berakhir kemenangan berpihak kepada Kontinjen Pulau Pinang dengan jaringan tipis 1-0 sekali gus melayakkan mereka ke perlawanan final bertemu pasukan Terengganu bagi merebut ibu emas di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram