Kelantan United ada kejutan untuk 'fans' Kijang Hijau


  • Podium
  • Isnin, 12 Sep 2022

Penyokong pasti tidak sabar menanti kejutan yang bakal diumumkan pada Disember ini. — Facebook/Kelantan United FC

PENSTRUKTURAN semula Liga Malaysia oleh perbadanan Malaysia Football League (MFL) bakal mengubah landskap bola sepak tanah air apabila 18 pasukan bakal bermain dalam liga baharu itu.

Perkara tersebut bakal menyaksikan kesemua pasukan yang bersaing melakukan persiapan lebih awal dengan mendapatkan pemain yang mampu beraksi dengan konsisten dalam kesemua 34 perlawanan.

Selain penambahan pasukan, struktur baharu itu juga bakal menyaksikan pemansuhan Liga Perdana yang ketika ini menempatkan 10 pasukan termasuk skuad simpanan seperti Selangor FC II dan Terengganu FC II.

Hal itu membolehkan kesemua kelab yang tidak bergelar pasukan simpanan mendapat slot tersendiri untuk bermain di Liga Super musim depan meskipun tidak mengakhiri musim di kedudukan pertama atau kedua.

Ia dilihat sebagai satu durian runtuh kepada pasukan lain apabila kenaikan secara automatik itu mampu menarik lebih banyak pelaburan selain dapat menarik lebih ramai penyokong dalam setiap perlawanan.

Antara pasukan yang menerima berita gembira itu ialah Kelantan United FC yang sedang berada di kedudukan kelima liga selepas baru sahaja menamatkan saingan Liga M3 sebelum itu.

Pegawai pemasaran dan penyelaras media Kijang Hijau, Ahmad Fadhli Sukardi berkata, KUFC sudah melakukan persiapan untuk saingan liga musim depan yang pastinya lebih kompetetif.

Tambahnya, pasukan itu juga mempunyai kejutan buat penyokong setia KUFC yang bakal dikongsikan pada Disember ini sempena sambutan lima tahun penubuhan kelab pantai timur itu.

"Kita juga ada kejutan kepada para penyokong kelab sempena lima tahun penubuhan Kelantan United FC yang akan kami kongsikan dalam bulan 12 ini," katanya kepada Majoriti.

Namun, Ahmad Fadhli tidak dapat berkongsi akan perkara itu kerana ia dilihat sebagai hadiah kepada mereka yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada pasukan baharu itu.

Oleh itu, ramalan hanya boleh dibuat di atas kejutan yang bakal ditunjukkan kepada penyokong yang pasti berdebar untuk melihat aksi skuad Kijang Hijau di liga musim depan.

1. Jalinan kerjasama kelab

Meskipun baru sahaja ditubuhkan, Kelantan United FC telah melakukan pelbagai kerjasama bersama beberapa buah pasukan di sekitar Asia Tenggara demi meningkatkan lagi reputasi kelab itu.

Antaranya, kerjasama yang dimeterai bersama kelab Thailand, Buriram United FC membolehkan kedua-dua pasukan mendapat faedah antara satu sama lain dari pelbagai aspek.

Misalnya, perlawanan pra-musim yang boleh diadakan memberi peluang kepada para pemain untuk mengekalkan tahap kecergasan selain meningkatkan kebolehan tersendiri.

305202772_2452947131512541_203918209973323472_n

Wakil pengurusan Kelantan United FC ketika menerima kunjungan wakil Buriram United FC. Facebook/Kelantan United FC

Tidak cukup dengan itu, Kijang Hijau turut menjalinkan kerjasama dengan kelab divisyen pertama Liga J, Shonan Bellmare yang giat mencari peluang kerjasama bersama pasukan di rantau Asia Tenggara.

Perkara ini pastinya memberi impak yang cukup positif apabila Kelantan United FC berpeluang mendapatkan pemain yang sedang beraksi bersama pasukan-pasukan di liga itu.

Di samping itu, mereka turut berpeluang menghantar pemain-pemain muda untuk mendapatkan lebih banyak pendedahan yang pastinya menjadi faktor utama kepada pertumbuhan karier mereka.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pihak pengurusan Kijang Hijau mencari lebih banyak kelab di Asia mahupun Eropah untuk melakukan hubungan yang lebih mendalam.

Persoalannya, adakah langkah ini akan disedari penyokong apabila mereka pastinya mahu kejutan yang lebih bermakna selain mampu membawa kelab ke satu tahap yang lebih tinggi dengan lebih cepat.

2. Pemain baharu

Seperti yang dikatakan awal tadi, perubahan struktur Liga M bakal menyaksikan lebih banyak pemain dibawa masuk bagi menghadapi jadual yang lebih padat dan mencabar.

Selain mencari bakat-bakat baharu, pihak pengurusan juga pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat pemain yang berpengalaman dan berkualiti.

Oleh itu, Kelantan United juga tidak akan terkecuali untuk menjalankan tugasan perpindahan pemain dalam jendela akan datang dalam usaha menguatkan lagi pasukan sedia ada.

Meskipun mereka kelihatan cemerlang dengan pemain sedia ada, ketumpulan barisan serangan pasti akan diasah dengan mengambil pemain yang mampu menjaringkan gol dengan berkesan.

Keberadaan pemain yang menuju penghujung kontrak dan ubi-ubi muda pastinya akan diberi perhatian staf kejurulatihan dalam membawa pemain yang sesuai dengan pendekatan taktikal.

300232456_2438655972941657_2484212500436751927_n

Adakah lebih ramai pemain baharu bakal dibawa masuk musim depan? Facebook/Kelantan United FC

Tidak cukup dengan itu, pemain yang berada di pasukan simpanan dan bawahan sudah tentu boleh didapatkan kerana mereka sukar untuk menolak peluang beraksi di Liga Super musim depan.

Namun, mampukah pasukan yang kurang diberi perhatian tersebut menarik nama-nama besar dalam usaha meningkatkan kualiti dan kemampuan bagi memberi saingan kepada pasukan lawan?

Selain itu, adakah kelab yang masih setahun jagung itu akan melakukan pelaburan yang besar dengan mendapatkan bintang yang bersinar melihat kepada perbelanjaan mereka musim ini?

Perkara ini pastinya memberi kejutan dan debaran kepada para penyokong yang pastinya tidak sabar untuk melihat visi Kelantan United untuk masa depan yang lebih cerah?

3. Staf kejurulatihan baharu

Sebelum permulaan musim 2022, Kelantan United telah menetapkan sasaran untuk menamatkan saingan liga di kedudukan empat teratas melihat kepada prestasi mereka di Liga M3.

Namun, hasrat itu seakan-akan tidak tercapai pada pertengahan musim setelah mereka terus bergelut di pertengahan carta liga berikutan keputusan yang tidak memberangsangkan.

Perkara itu diikuti dengan keputusan pihak pengurusan yang merehatkan pengendali, Syamsul Saad secara sementara dalam usaha menambah baik kedudukan mereka dalam liga.

274111450_2286216911518898_337189255368521053_n

Karier kejurulatihan Sazami Shafii bermula dengan langkah kanan. Facebook/Kelantan United FC

Jawatan ketua jurulatih bagaimanapun telah diisi pembantu kepada Syamsul, Sazami Shafii sementara mereka dalam usaha mencari individu yang lebih sesuai.

Tetapi, Sazami tidak perlu menunggu lama untuk menampilkan kemampuannya apabila Kelantan United berjaya mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ke atas UiTM FC Selangor FC II.

Meskipun mereka tumpas dalam pertemuan dengan Kuching City FC, Sazami menampilkan kemampuan taktikalnya dalam ketiga-tiga perlawanan apabila berjaya menjaringkan lapan gol dan dibolosi hanya dua kali.

Namun, perkara ini pastinya tidak akan memberi lesen kepadanya untuk terus kekal sebagai pengendali Kelantan United FC musim depan apabila mereka perlu seseorang yang lebih sesuai.

Perkara ini pastinya membawa kegembiraan kepada penyokong apabila kehadiran seorang ketua jurulatih yang mempunyai kredibiliti tersendiri mampu membawa pasukan itu ke tahap yang lebih tinggi.

Tidak cukup dengan itu, pemilihan ketua jurulatih yang tepat merupakan antara faktor utama dalam memastikan sesebuah pasukan tampil dengan kemampuan dan gaya yang berkesan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram