Kelantan FC, Kelantan United tak lagi beraksi sebelah petang


  • Podium
  • Sabtu, 10 Sep 2022

Tiang lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu sudah dinaikkan bermula pada Sabtu. — Sinar Harian

AKSI Liga Perdana membabitkan pasukan Kelantan United dan Kelantan FC bakal berlangsung pada sebelah malam tidak lama lagi susulan tiang lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV sudah dinaikkan bermula pada Sabtu.

Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sebagai permulaan dua batang tiang lampu limpah yang sudah dinaikkan itu akan diuji terlebih dahulu.

"Ujian itu melibatkan tahap kecerahan lampu limpah yang dipasang supaya mencapai lux sebagaimana ditetapkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata, selepas ini dua lagi tiang lampu limpah bakal dinaikkan dan jika semua berjalan lancar, aksi pasukan Kelantan United serta Kelantan FC dijangka berlangsung pada waktu malam.

Media pada 15 Ogos lalu melaporkan, kerajaan Kelantan akan mengadakan lawatan ke kilang pembekal lampu limpah di Shah Alam, Selangor untuk melihat sendiri masalah yang sedang dihadapi pihak terbabit susulan kegagalan berbuat demikian sebagaimana tempoh dijanjikan.

Pemasangan lampu limpah baharu itu merupakan sebahagian daripada kerja-kerja naik taraf Stadium Sultan Muhammad IV selain kerja-kerja baik pulih kerosakan pada struktur bangunan.

Keseluruhan kerja-kerja naik taraf itu membabitkan peruntukan berjumlah RM5 juta. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kelantan fc, bola sepak, berita mojoriti,