Antony cipta rekod EPL pada aksi pertama Man United


  • Podium
  • Isnin, 05 Sep 2022

Antony menyerlah pada penampilan sulungnya bersama Manchester United dengan sumbangan satu gol. — Agensi

PERMULAAN karier Antony bersama Manchester United cemerlang selepas dia menjaringkan gol pada penampilan sulungnya menentang Arsenal pada Ahad.

Tampil sebagai pemain Brazil yang ke-100 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), pemain berusia 22 tahun itu turut mencipta rekod sebagai pemain termuda dari negara berkenaan yang menjaringkan gol pada debutnya dalam liga tersebut.

Jaringan pertama Antony ditambah dengan dua gol Marcus Rashford mencetus kemenangan 3-1 ke atas Arsenal sekali gus mengakhiri permulaan sempurna Arsenal dalam kempen EPL musim ini.

Antony yang membuat penampilan pertamanya selepas berpindah dari Ajax - bekas kelab pengendali United, Erik ten Hag - pada harga 82 juta pound (RM368 juta) Khamis lalu.

Penyerang 22 tahun dari Brazil itu hanya memerlukan 35 minit sebelum menemui sasaran dalam aksi di Old Trafford.

Arsenal bangkit dengan menyamakan kedudukan menerusi Bukayo Saka, tetapi Rashford mengejutkan pendahulu liga itu dengan dua gol dalam tempoh sembilan minit selepas Antony digantikan Cristiano Ronaldo.

"Dia akan menjadi ancaman dalam EPL. Kami tiada pemain di sayap kanan, Sancho dan Rashford boleh bermain di posisi itu tetapi mereka lebih gemar di sebelah kiri, jadi sekarang kami mempunyai pemain yang boleh bermain dengan baik di sebelah kanan.

"Dia beraksi dengan baik tetapi saya rasa dia mampu melakukan lebih lagi. Dia menjaringkan gol yang hebat tetapi kesemua gol adalah usaha berpasukan," kata Ten Hag.

Dalam pada itu, kekalahan pertama Arsenal selepas lima kemenangan berturut-turut cukup perit untuk ditelan oleh skuad kendalian Mikel Arteta.

"Ia amat mengecewakan kerana dengan cara mereka bermain di sini, ia mengagumkan tetapi kami memerlukan keputusan yang lebih baik," kata Arteta.

Arsenal hampir mendahului permainan pada minit ke-12 apabila Gabriel Martinelli menewaskan David de Gea, namun jaringan itu dibatalkan selepas VAR meminta pengadil, Paul Tierney untuk melihat ulang tayang.

Tierney membatalkan keputusan gol selepas mendapati Martin Odegaard menolak Christian Eriksen bagi mendapatkan bola sebelum gol berkenaan.

Antony meletakkan United di depan pada minit ke-35 hasil hantaran Rashford, dan mengambil kesempatan di atas kelemahan pertahanan Arsenal untuk membuka jaringan.

Namun Saka menyamakan kedudukan dua minit kemudian sebelum Rashford kembali meletakkan United di depan pada minit ke-66 hasil serangan balas.

Gol ketiga United juga hasil serangan balas selepas benteng Arsenal terbuka luas dan Rashford memanfaatkan hantaran Eriksen.

Kemenangan tersebut melonjakkan United ke tangga kelima liga. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram