Ledak hatrik, 'fans' Sang Penyu harap Kipre tak goyang lutut, klimaks awal masa jumpa JDT final Piala FA


  • Podium
  • Ahad, 04 Sep 2022

Kipre melengkapkan malam gemilang buat TFC selepas mencipta hatrik buat Sang Penyu ketika membelasah Melaka United 5-0 pada Sabtu. — Facebook

JARINGAN hatrik penyerang import, Tchetche Kipre melengkapkan malam gemilang buat Terengganu FC (TFC) selepas berpesta jaringan menewaskan Melaka United (MUFC) dengan 5 gol dalam aksi Liga Super di laman sendiri pada Sabtu.

Kemenangan ini juga membuatkan Terengganu berada dalam rentak terbaik menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) Sabtu depan.

Di sebalik cetakan hatrik Kipre, pemain sayap lincah, Faisal Halim juga menjadi watak penting kerana berjaya mencipta peluang demi peluang menerusi lorongan bola kemas untuk disudahkan dengan baik oleh penyerang dari Ivory Coast itu.

Dalam situasi itu, ada juga penyokong TFC berpendapat, Kipre hanya bernasib baik meledak hatrik kerana prestasinya sepanjang musim ini kurang konsisten selain tidak berada dalam kecergasan terbaik.

Perkara tersebut tidak dinafikan ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain yang mengakui ketumpulan Kipre dan seorang lagi penyerang import Sang Penyu, Kpah Sherman.

304276367_1540447139719295_6208639479480521268_n

Faisal Halim (kiri) menjadi watak penting kejayaan TFC kerana berjaya mencipta peluang demi peluang untuk disudahkan dengan baik oleh Kipre. — Facebook

Ditambah pula dengan permainan kurang bersemangat Melaka United yang dipercayai ada kaitan dengan masalah tunggakan gaji, TFC begitu mudah membolosi gawang skuad Sang Kancil pada Sabtu.

Justeru, penyokong TFC berharap jentera serangan Sang Penyu tidak 'kendur lutut' ketika bertemu dengan JDT yang jauh lebih solid dalam aksi final Piala FA, 10 September depan.

"Kipre dah akhir-akhir season tajam lain macam. Gitu sokmo (selalu macam tu), awal musim ye buat lembik," kata seorang penyokong TFC, Muhamad Ariffin Anuar.

"Awal klimaks Kipre. Piala FA ni kendur lutut laa...patut simpan dulu, jangan buat turun game ni," kata Mohd Ab Rahman pula.

Menjelang pertemuan dengan JDT selaku gergasi Liga Super, penyokong TFC berharap Kipre dapat terus mengekalkan momentum kecemerlangan dengan mempamerkan aksi sama ketika membenam Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram