Sistem online tiket final Piala FA 'mengarut', penyokong Sang Penyu panas hati


  • Podium
  • Khamis, 01 Sep 2022

Penyokong TFC pasti mendambakan semangat yang berbeza menjelang Piala FA 2022 berdepan JDT pada 10 September depan. — Facebook/Terengganu FC

PERLAWANAN akhir Piala FA 2022 antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) pasti dinanti-nantikan peminat bola sepak tanah air yang bakal menyaksikan dua pasukan itu berentap bagi kejuaraan berprestij itu dalam masa tidak kurang seminggu saja lagi.

Pertembungan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September itu semestinya menyajikan persembahan yang terbaik daripada dua-dua pasukan yang membawa misi tersendiri.

TFC yang pernah muncul sebagai juara Piala FA sebanyak dua kali, pasti mahu memberikan saingan sengit kepada JDT dalam usaha menghadiahkan para penyokong dengan satu trofi musim ini.

Selepas mengharungi satu kempen yang cemerlang, anak-anak buah Nafuzi Zain menyaksikan mereka berada di tangga keempat liga selepas 16 perlawanan dalam usaha melayakkan diri ke pentas Asia.

Meskipun mereka sebelum ini tumpas di tangan JDT dalam pertembungan Liga Super, skuad Sang Penyu pasti mempelajari sedikit sebanyak akan kemampuan dan kelebihan pasukan Harimau Selatan.

Selain itu, penyokong juga pasti mengimpikan kemampuan para pemain dan barisan kejurulatihan dapat dicurahkan dalam pentas akhir itu setelah hampir empat tahun tanpa kejuaraan.

Oleh itu, kehadiran mereka di stadium pada hari perlawanan pasti tidak akan menghampakan dalam usaha memberi semangat kepada sebelas pemain di atas padang.

pialafaganu1

Terengganu FC pernah muncul sebagai juara Piala FA pada 2000 dan 2011. Agensi

Namun, perkara itu tidak membawa kegembiraan kesemua penyokong khususnya peminat Sang Penyu apabila mereka gagal mendapatkan tiket yang disediakan walaupun telah mengikut aturan yang disediakan.

Perkara ini pasti mengecewakan mereka setelah penantian sekian lama untuk menyaksikan pasukan itu beraksi di pentas final selepas kali terakhir berentap di perlawanan akhir Piala Malaysia 2018.

Bagi Kamarudin Hamzah, sistem yang tidak beroperasi dengan lancar menyebabkan dia terlepas peluang untuk mendapatkan tiket bagi hari yang bermakna itu.

"Saya dah log masuk ke dalam sistem seawal pukul 10 pagi, tetapi memang masalah sistem menyebabkan saya tidak dapat untuk menggunakan perisian yang disediakan di laman sesawang itu.

"Akhirnya, saya sendiri kecewa kerana tidak dapat tiket yang dijual meskipun ada 20,000 tiket bagi penyokong pasukan secara sama rata, saya sebagai penyokong rasa tertipu," katanya.

Seid Nahsirtana pula berkata, harapannya untuk mendapatkan tiket itu tidak tercapai kerana laman sesawang itu dibanjiri terlalu ramai pengguna.

"Pagi tadi, saya sudah masuk dalam pukul 10 pagi dan saya hanya dapat melayari pada pukul 1 petang, memang pelayar tidak dapat diakses sehingga kami terpaksa menunggu.

"Tetapi, nak buat macam mana? Mereka yang tidak dapat tiket hanya boleh menonton di media sosial," katanya.

Zara Alana turut berasakan kekecewaan itu apabila ketiadaan tiket itu memberi kesan kepada semangat untuk menyaksikan perlawanan akhir itu.

"Dari pukul 10 pagi sudah menunggu tetapi terlalu lama untuk pelayar memberikan respons, siapalah antara pihak pengurusan yang tidak menjalankan tugas dengan baik?" katanya.

Perkara ini juga pasti memberikan kesan kepada pihak pengurusan stadium untuk melakukan persiapan rapi bagi mengelakkan isu limpahan penyokong dan ulat tiket di sekitar stadium.

Majoriti sedang cuba untuk mendapatkan respons daripada pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan badan berkaitan untuk melihat persiapan yang sudah dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram